MPSP ‘tawar’ diskaun kompaun pelbagai kesalahan

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Bayaran Kompaun Tanpa Lesen yang dilakukan pada Perayaan Hari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Ke-39, 6 Julai lalu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, hanya RM50 sahaja untuk setiap kesalahan, selepas diberi diskaun untuk pelbagai jenis kesalahan di bawah Undang- Undang Kecil Penjaja 1991, Undang- Undang Kecil Iklan 2001, Undang- Undang Kecil Bayaran Lesen 1981 dan Akta Kerajaan Tempatan (Kesalahan Tidak Pamer Lesen).

“Pembayaran kompaun bagi kesalahan parkir yang masih belum didaftarkan di mahkamah pula menerima diskaun sehingga RM15 setiap satu,” ujarnya dalam Mesyuarat Penuh Akhir di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru- baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MPSP sempena Bulan Bayar Cukai Taksiran bermula pada Julai hingga Ogos depan akan membuka
kaunter pembayaran termasuk pada hari Sabtu dan Ahad.

“Kaunter pada kedua-dua hari itu dibuka seawal 8.30 pagi hingga jam 12.30 tengah hari, kecuali cuti umum.

“Ini, untuk memberi kemudahan kepada para pelanggan dan ‘stakeholders’ untuk membuat bayaran cukai taksiran setengah tahun kedua 2013,” ujar beliau.

Difahamkan, sebanyak 854 kes kompaun masih belum dibayar untuk pelbagai jenis kesalahan bagi tahun 2013 yang keseluruhannya berjumlah
kira-kira RM216,000.

Sejak tahun 2008, kompaun parkir kereta tertunggak yang dikeluarkan MPSP adalah berjumlah 981,279 kes dan kutipan yang sepatutnya diperoleh majlis dianggarkan bernilai RM24.5 juta.

Itu, tidak termasuk cukai taksiran tertunggak bagi tahun 2011 sebanyak RM34.3 juta dan RM27.4 juta bagi tahun 2012.

“Kita bekerja dengan penuh tekun untuk mengutip cukai tunggakan ini,” jelasnya dalam sidang media di sini.