MPSP tubuh Skuad Tindakan Krisis bendung penularan wabak denggi

Admin

SEBERANG PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menubuhkan Skuad Tindakan Krisis bagi mengawal penularan wabak denggi yang kini semakin membimbangkan.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, skuad berkenaan ditubuhkan sejak 7 Disember 2018 ekoran berlaku peningkatan ketara kes wabak denggi yang dilaporkan di Pulau Pinang iaitu sebanyak 5,485 kes.

“Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menjadi penyumbang tertinggi kepada peningkatan kes denggi dengan mencatatkan 1,531 kes pada tahun ini.

“Lokaliti wabak yang masih aktif pula adalah tujuh lokaliti hotspot, lokaliti wabak tidak terkawal (4) dan lokaliti wabak terkawal (17).

“Oleh itu, MPSP akan memainkan peranan dalam menangani isu wabak denggi dengan membantu pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan.

“Pejabat Kesihatan Daerah akan menyalurkan maklumat berkaitan lokaliti kejadian wabak denggi kepada MPSP dan isu-isu permasalahan berkaitan kebersihan sekitar yang perlu ditangani,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP.

Mengulas lanjut, Rozali menjelaskan bahawa pihaknya juga menjalankan tindakan pembersihan di beberapa kawasan hotspot denggi mulai Oktober sehingga 24 Disember 2018 ini dan setakat ini 16 notis pembersihan telah dikeluarkan.

Selain itu, katanya, beberapa strategi bagi menangani wabak berkenaan telah disusun oleh MPSP dengan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan sekitar, menjalankan kerja anti larva, tindakan penguatkuasaan, program gotong-royong dan banyak lagi.

“Justeru, MPSP menyeru kepada penduduk setempat agar memberi kerjasama yang padu kepada agensi kerajaan dalam memerangi nyamuk Aedes,” ujarnya lagi.

Pulau Pinang kini menduduki tangga ketiga dari segi jumlah kes tertinggi wabak denggi di negara ini selepas Selangor (41,153) dan Kuala Lumpur (6,574).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS