MPSP, UPSI sasar kumpul 71,000 penutup botol minuman untuk siapkan mural 3D

Admin

SEBERANG JAYA – “Kita perlukan 71,000 penutup botol minuman untuk buat mural di Menara MPSP, dan dalam majlis pelancaran pada hari ini, kita sudah mendapat 47,000 unit.”

Demikian ucapan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud sambil merakamkan penghargaan atas projek usahasama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

Tambahnya, gambar-gambar pemandangan terpilih di Seberang Perai akan dimuatkan dalam mural tersebut kelak.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu, projek kreativiti berorientasikan ‘Re-imagining Waste as a Resource’ tersebut, memerlukan 300 sukarelawan bagi melayakkan projek itu dicatatkan dalam Malaysian Book of Records, kelak.

“Walaupun 300 sukarelawan sahaja diperlukan dalam projek kreatif ini, tapi kita harap seramai mungkin penduduk Pulau Pinang boleh membantu mengumpulkan baki 24,000 lagi penutup botol minuman untuk mencukupkan 71,000 unit.

“Selepas pelancaran ini, proses membuat mural akan diadakan pada 21 hingga 23 September 2018,” jelasnya sambil mengharapkan projek berkaitan turut menyumbang pada hasrat MPSP untuk menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya rendah karbon dan bandar raya pintar menjelang 2022.

Turut berucap, wakil UPSI, Prof. Dr. Fauzi Sedom @ M.Dom dalam majlis dilangsungkan dekat Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda Seberang Jaya di sini pada petang 25 Julai 2018.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mohmood, barisan Ahli Majlis bagi MPSP, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta perwakilan dari sekolah-sekolah terpilih.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MPSP