MSNPP bantu negara lahir atlet prestasi tinggi – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MARK JAMES

BATU UBAN – Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) merupakan badan induk bagi pengurusan semua jenis sukan di Pulau Pinang dan keperluannya adalah untuk menjalin hubungan erat bersama-sama 40 persatuan sukan yang bertapak di negeri ini dengan tujuan mencakna bakat-bakat baru untuk diketengahkan di arena antarabangsa.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti, Chong Eng sempena lawatan khas ke kem MSNPP bagi meninjau serta membuka mata umum berhubung peranan sebenar badan berkaitan.

Katanya, selama ini, umum mengetahui fungsi MSNPP hanya berkaitan penganjuran sukan semata-mata.

“Sebaliknya, peranan MSNPP adalah lebih daripada itu dan ia mendukung misi dan visi penubuhan MSNPP berkaitan dalam membantu negara melahirkan atlet-atlet berprestasi tinggi bagi mencapai piawaian antarabangsa,” ujarnya pada sidang media selepas selesai sesi lawatan terbabit di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Pegawai-pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang
dijemput khas.

Menurut Chong Eng, sebagaimana maklum, temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang kini diadakan setiap tahun memerlukan perhatian serius terutamanya dalam penyediaan barisan atlet untuk berentap dalam kejohanan berkaitan.

“Tanggungjawab tersebut juga tidak lain dan tidak bukan terletak pada bahu MSNPP,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid menyeru supaya ADUN-ADUN turut sama memainkan peranan dalam membantu MSNPP melahirkan bakat-bakat baru dengan memperkasakan aktiviti sukan di peringkat komuniti.

“Bagi mengembangkan sukan dari peringkat bawah, contohnya bola sepak atau futsal, kita (ADUN) boleh mengadakan pertandingan berbentuk skala lebih kecil atau in house sebagai usaha mencungkil dan membuka peluang kepada bakat-bakat muda di peringkat komuniti.

“Selaras dengan misi tersebut, Kerajaan Negeri memang berhasrat untuk membina sebuah gelanggang futsal bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya yang juga ADUN Pantai Jerejak.

Bagai maklumat mengenai fungsi dan peranan MSNPP, layari laman sesawang, www.msnpp.gov.my.