Muay Thai lebih dari sekadar seni bela diri

SUKAN Muay Thai atau dikenali masyarakat tempatan Tomoi sebenarnya lebih daripada seni bela diri yang agak bahaya seperti persepsi sesetengah masyarakat.

Pernah popular di layar perak sekitar tahun 80an dan 90an menerusi filem sekuel Kickboxing lakonan Jean-Claude Van Damme dan aksi Tony Jaa, mungkin antara sebab sukan ini sering dibayangi aksi ganas.

Memasuki era moden, sukan dari negara gajah putih itu juga kian mendapat tempat di temasya sukan utama seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan SEA dan Sukan Asia.

Bagi Jurulatih Muah Thai berpengalaman di gymnasium sukan  kombat Penang Top Team, MOOK KOK HOONG, 43, sukan tersebut sebenarnya punyai pendekatan yang pelbagai bergantung kepada pelatih.

“Apabila orang ramai tanya, tidak bahayakah sukan ini, saya kata anda perlu cuba dahulu baru boleh tahu.

“Sukan Muay Thai tidak semestinya berlawan hingga cedera teruk, anda boleh belajar untuk kecergasan, mendapatkan berat badan ideal, beriadah dan paling utama sebagai seni mempertahankan diri.

“Sukan ini juga sebenarnya sesuai untuk semua lapisan umur dan jantina, bergantung kepada apa yang anda mahukan, ada yang datang untuk kecergasan, kita memang sediakan latihan bersesuaian.

“Kalau datang untuk masuk pertandingan pun kita ada latihan khas untuk itu, jangan risau tentang pengalaman kerana kami semua di sini pun semuanya bermula dari ‘kosong’,” ujar Kok Hoong ketika ditemu bual oleh Buletin Mutiara di gimnasium beliau dekat Aquatic Centre, SPICE Arena baru-baru ini.

Secara keseluruhan, 80 peratus yang hadir ke Top Team memilih untuk menyertai kelas Muay Thai bagi membentuk badan, kardio dan kecergasan manakala bakinya untuk menyertai pertandingan.

“Untuk itu, adalah penting untuk hadir ke kelas supaya anda mempelajari teknik yang betul supaya anda tidak cedera.

“Kepada yang ingin menyertai pertandingan, komitmen lebih perlu diberikan, berbanding untuk kecergasan,” jelasnya yang kini mempunyai kira-kira 300 pelatih aktif.

Antara pertandingan peringkat negeri yang popular adalah Kejohanan Muay Thai Terbuka Pesta Pulau Pinang yang diadakan secara tahunan.

“Kejohanan lain yang pernah saya sertai adalah di Pesta, itu kejohanan pertama bagi saya dan sudah beberapa kali, Malaysian Invasion Mix Martial Arts dan Brazillian Jiu Jitsu,” katanya yang sudah lebih 10 tahun pengalaman.

Sekiranya berminat untuk menyertai kelas tersebut, anda boleh terus ke Gimnasium Kombat Penang Top Team, Tingkat 1 di Aquatic Centre SPICE Arena.

Yuran serendah RM20 dan bergantung kepada pakej yang anda ingin sertai.

Keterangan lanjut boleh hubungi Kok Hoong di talian +60 19-561 9299 atau lawati Instagram Penang Top Team.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD