Mufti tegur faham anti vaksin melampau

SEBERANG JAYA – Hanya ahli vaksin serta doktor pakar berwajib mempunyai kelayakan untuk menentukan bahan serta kesan berantai pada kegunaan satu-satu vaksin itu, sama ada baik atau buruk.

Mufti Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran fahaman melampau anti vaksin, yang disebarkan secara meluas menerusi laman sosial Facebook tanpa berdasarkan disiplin ilmu fekah sebenar serta hasil kajian saintifik berwajib.

“Islam begitu menghormati ‘specialisation’, pengkhususan dan kepakaran kerana Allah berfirman (yang bermaksud): ‘oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui’ (Surah AnNahl: 43).

“Pakar syariah hanya melihat dari kaedah-kaedah hukum syariah sahaja, kalau dia (fuqaha) tidak tahu keadaan sebenar dalam satu-satu isu itu, tidak boleh mengeluarkan fatwa yang tepat.

“Oleh sebab itu, dia (fuqaha) perlu mendengar pandangan pakar (ahli vaksin) ini supaya dia (fuqaha) boleh membuat kesimpulan hukum berkenaan isu yang dibangkitkan,” ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Keluarga Sejahtera 2 di sini baru-baru ini.

Difahamkan, fahaman anti vaksin antara lain menganggap vaksinisasi boleh mengakibatkan autisme serta memberi kesan sampingan yang buruk ke atas kanak-kanak.

Selain itu, fahaman tersebut percaya bahawa kesihatan dan daya tahan badan (imuniti) anak-anak mereka adalah lebih baik sekiranya tidak mengambil vaksin, sebagaimana diperlukan di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, 1972.

Lebih dari itu, bahan vaksin yang diberikan sejak bayi baru lahir digambarkan tidak halal, ‘agenda Zionis’ serta akan mengakibatkan intelektual umat Islam kian lemah kerana dihasilkan daripada elemen tertentu.

Ketika ini, hampir 95 peratus komuniti mendapatkan vaksin berwajib dan Wan Salim mengakui program imunisasi yang dilaksanakan kerajaan secara umum terbukti memberi manfaat terbanyak kepada masyarakat.

“Kalau digunakan kaedah ‘menutup pintu-pintu haram’ ini sahaja untuk tidak mahu mengambil vaksin, ia akan menyusahkan masyarakat Islam.

“Sebab itu, perlu diimbangi dengan kaedah-kaedah fiqh lain seperti ‘mudarat diambil sekadarnya’…maknanya kalau terpaksa umat Islam dibenarkan untuk menggunakan vaksin untuk mencegah daripada kehilangan nyawa.

“Setakat ini, kita (Jabatan Mufti Pulau Pinang) membaca dan mengkaji pendapatpendapat ulama antarabangsa seperti Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi.

“Malah fatwa-fatwa di Malaysia sendiri menyebut, menurut amalan pakarpakar perubatan Islam di seluruh dunia, mereka mengatakan bahawa penggunaan vaksin ini perlu untuk mencegah penyakit berjangkit.

“Dr. Yusuf Al-Qaradawi sendiri dalam fatwanya mengenai pelarutan zat (istihalah) ini mengatakan sesuatu yang najis itu sendiri tidak dikira najis apabila ia ditransformasikan menjadi suatu elemen yang lain,” jelasnya.

Justeru, beliau berkata, tuduhan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan kemasukan vaksin ‘tidak halal’ ke tanah air ini, hanya sangkaan tanpa asas (waham) segelintir pihak yang terpengaruh oleh faham anti vaksin melampau.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);