Kelulusan jajaran pertama LRT Bayan Lepas, KN akan berjumpa SPAD – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan berjumpa Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Datuk Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar pada September ini susulan permohonan cadangan jajaran pertama projek aliran transit ringan (LRT) Bayan Lepas yang diserahkan kepada pihak berkaitan pada 29 Mac 2016.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, beliau akan mengetuai delegasi berkaitan yang dijangka pada pertengahan September ini.

“Saya sendiri akan mengetuai delegasi Kerajaan Negeri untuk berjumpa dengan Syed Hamid di pejabatnya nanti.

“Daripada situ, kita akan lihat apa lagi yang masih diperlukan termasuk memperoleh persetujuan bersyarat bagi melaksanakan kajian terperinci bagi perancangan pelan pengangkutan untuk jangka masa panjang Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang,” ujarnya pada sidang media di sini 11 Ogos lalu.

Menurut Kon Yeow, mengikut garis masa projek (timeline) rakan pelaksana projek (PDP) PIP, SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS), pihak berkaitan perlu mendapatkan maklum balas berhubung cadangan-cadangan jajaran LRT pertama merangkumi laluan dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke Bayan Lepas daripada SPAD pada penghujung bulan Julai lalu.

“Namun, sehingga ke hari ini, baikpun SRS mahupun Kerajaan Negeri masih belum menerima sebarang maklum balas,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow, cadangan PIP kini masih dalam proses perancangan dan perbincangan memandangkan beberapa isu seperti perincian reka bentuk dan teknikal perlu diperhalusi lebih lanjut.

Pada 29 Mac lalu, Kerajaan Negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri menyerahkan cadangan jajaran pertama projek aliran transit ringan (LRT) sejauh 30 kilometer kepada SPAD merangkumi laluan dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas.

}