AIR ITAM – Hampir 100 karya seni mural berjaya disiapkan menerusi projek Mural Patriotik Air Itam 2025 yang menampilkan hasil kreatif pelukis mural tempatan, Ooi Kok Chuan bersama-sama lebih 100 pelajar daripada 15 sekolah dan tadika sekitar Air Itam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, projek yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jangkaan itu bukan sekadar memperindah kawasan di sekitarnya, malah membawa mesej mendalam mengenai identiti, sejarah, dan semangat kebangsaan masyarakat setempat.
Mural yang dihasilkan ini menggabungkan unsur komuniti, warisan dan patriotisme, menjadikannya satu cerita visual tentang Air Itam.
“Antara elemen menarik yang dipaparkan termasuk makanan ikonik di Air Itam serta tokoh kebanggaan negara yang merupakan anak jati negeri seperti Dato’ Seri Datuk Wira Dr. Lee Chong Wei, Chan Peng Soon, Tan Sri P. Ramlee, Datuk Nicol Ann David dan kumpulan Alleycats,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke majlis penghargaan yang diadakan di Pasar dan Kompleks Makanan Kampung Baru dekat sini pada 24 Oktober 2025.
Turut hadir, semua pihak yang menjayakan projek tersebut termasuk wakil sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.
Ketika berucap, Soon Siang menzahirkan rasa bangga kerana berjaya menyiapkan mural-mural berkaitan dengan semangat berpasukan yang tinggi.
Saya juga amat berbangga dengan penglibatan pelajar dan guru dalam menjayakan projek ini.
“Ia bukan sekadar projek seni, tetapi simbol perpaduan serta semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha dan semangat berpasukan seperti ini harus diteruskan dari masa ke masa kerana ia mampu meningkatkan semangat patriotik dan kesedaran sejarah tempatan, selain memperkukuh kerjasama antara komuniti dan institusi pendidikan.
Difahamkan antara sekolah yang mengambil bahagian adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam; Sekolah Kebangsaan (SK) Air Itam; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Kang; SJKC Kong Min; SJKC Chiao Nan; SJKC Shang Wu; Sekolah Menengah (SM) Chung Ling; SM Chung Ling (Persendirian); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rajaji; Equator College serta beberapa tadika termasuk Wise Junior; B&G Educare Centre; D Kingdom Preschool dan Junior Scholar.
Menurut Soon Siang, projek ini merupakan projek mural kedua di Air Itam, selepas kejayaan projek pertama yang dijalankan ketika pandemik di sekitar pasar Air Itam.
Selain menerima sijil pengiktirafan, setiap sekolah yang menyertai juga diberi sumbangan sebanyak RM1,000 sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan sokongan mereka.
Malah, turut dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh juga menyalurkan sejumlah RM22,000 bagi menjayakan projek ini.
Pada majlis sama, Soon Siang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penaja dan rakan kerjasama yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan projek mural berkenaan.
“Mural ini bukan sekadar hasil seni, tetapi lambang semangat masyarakat Air Itam yang bersatu padu dan berbangga dengan warisan sendiri,” katanya.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN