Mustahak bagi Kerajaan Negeri memiliki rakyat yang cerdas dan cergas dalam memacu pembangunan lestari – Kon Yeow

Admin

KEBUN BUNGA – Senaman yoga bukan sahaja dapat membantu individu dari segi kesihatan fizikal, malah juga pada aspek mental serta kerohanian.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam tempo pembangunan yang pesat membangun dan persekitaran yang berdaya saing, ketahanan seseorang dari fizikal, mental serta emosi adalah amat diperlukan.

 

“Senaman yoga dapat memberikan ketenangan selain dapat membantu menghilangkan tekanan dalam kehidupan seharian kita.

 

“Malah, senaman yoga juga memberi pengamalnya daya tumpu serta memupuk kesedaran penjagaan kesihatan tubuh badan secara holistik…yang juga boleh dipraktikkan oleh semua,” ucapnya ketika merasmikan penganjuran Penang International Yoga Day 2019 di Taman Bandaraya dekat sini pagi ini.

KETUA Menteri menyampaikan cenderahati kepada salah seorang tenaga pengajar senaman yoga sejurus selesai acara di sini pagi ini.

 

Hadir sama, Naib Presiden Malaysia Hindudharma Mamandram Pulau Pinang, Krishnan; Pengerusi Pengelola Penang International Yoga Day 2019, N.S. Thanabalan dan Thamilarasan selaku Setiausaha Malaysia Hindudharma Mamandram Wilayah Utara.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa badan yang sihat dan otak cerdas akan membolehkan seseorang individu itu menjadi lebih kompeten, (lebih) cergas serta lebih bahagia sekaligus menjadikan kehidupan seharian lebih bermakna.

 

“Elemen inilah yang akan membantu merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri mencapai indeks kebahagiaan untuk semua rakyat Pulau Pinang selaras dengan visi dan misi Penang2030.

 

“(Dan) adalah sangat mustahak untuk sesebuah Kerajaan Negeri ‘memiliki’ rakyatnya yang cerdas serta cergas dan seterusnya dapat memacu pembangunan ke arah sebuah negeri lestari serta pintar.

 

“Sebagai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita akan meneruskan segala usaha untuk menyokong acara atau aktiviti yang mempromosikan kesedaran penjagaan kesihatan rakyat di negeri ini,” katanya yang turut mahu melihat aktiviti senaman yoga diteruskan sepanjang tahun.

SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam Penang International Yoga Day 2019 dekat Taman Bandaraya pagi ini.

 

Difahamkan, kira-kira 100 peserta pelbagai peringkat umur hadir seawal jam 6 pagi bagi menyertai Penang International Yoga Day 2019 yang merupakan kali kedua diadakan sempena Sambutan Hari Yoga Antarabangsa yang diraikan seluruh dunia pada 21 Jun setiap tahun sejak diperkenalkan pada 2015.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ALVIE CHENG