Mutiara Food Bank, diharap menjadi pemulih semangat ketua keluarga

Admin

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa sekiranya anak-anak di dalam sesebuah keluarga tidak mendapat makanan mencukupi, berkemungkinan mereka terpaksa ke sekolah dalam keadaan lapar dan seterusnya mengganggu proses pembelajaran.

Justeru, katanya, melalui program Mutiara Food Bank, golongan berpendapatan rendah mampu untuk mendapatkan makanan yang merupakan keperluan hak asasi manusia.

“Tanpa bekalan mencukupi, ia mungkin menjejaskan prestasi kanak-kanak di sekolah kerana mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran.

“Malah, kepada ibu di dalam keluarga sedemikan pula, golongan berkaitan tidak akan dapat memberi tumpuan untuk menjaga keluarga sekiranya keperluan asas ini tidak dapat dipenuhi setiap hari.

“Jadi, program ini (Mutiara Food Bank) memainkan fungsi sedemikian, sekurang-kurangnya keperluan asas ini dapat dipenuhi,” ucap beliau pada Majlis Jamuan Aidilfitri 2019 dan Perasmian Mutiara Food Bank anjuran bersama-sama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang, Pusat Khidmat Parlimen Jelutong serta Masjid Jamek Jelutong di sini tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang; Ong Ah Teong; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Pengerusi Masjid Jamek Jelutong, Abdul Rahim Omar.

Siew Khim dan Rayer turut berucap dalam majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow bagaimanapun berharap keluarga yang menerima bantuan Mutiara Food Bank tidak akan bergantung kepada program berkaitan dalam tempoh yang lama, sebaliknya dapat meningkatkan ekonomi keluarga di masa depan.

“Sekiranya mereka bergantung terlalu lama, ianya bermaksud mereka tidak mendapat peluang pekerjaan yang lain untuk menyara keluarga.

“Bagi Kerajaan (Negeri) pula, kita pun tidak mahu semakin ramai yang perlukan bantuan sedemikian, ini mungkin satu indikator (penanda aras) yang negatif kepada negeri kita,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.

Tambah Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong, melalui program Mutiara Food Bank juga, beliau berharap agar ianya menjadi pemulih semangat kepada ketua keluarga.

Pada jamuan Aidilfitri tersebut, Kon Yeow turut memuji semangat muhibah masyarakat Jelutong yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama serta bangsa.

Antara hidangan lazat yang memeriahkan jamuan termasuk nasi minyak, sate, char kuetiau serta hidangan-hidangan lain yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : CHAN KOK KUAN