Muzium Feri ikonik kini dibuka, peluang teroka nostalgia

Admin
2f4c4688 a1dd 4063 8494 eaff5ba032bd

GEORGE TOWN – Muzium Feri ikonik Pulau Pinang sudah memulakan operasi secara percubaan sejak 30 Ogos lalu sekali gus mencatat sejarah sebagai muzium feri pertama di dunia.

 

e3a4600a 09fb 4abe 946e 760a32f1d01a

Menurut Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang, Abdul Hadi Abu Osman, pembukaan secara rasmi dijangka pada 16 September ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Jelasnya, muzium yang menggunakan Feri Pulau Pinang versi 2002 seluas 2,000 kaki persegi itu mampu menampung seramai 150 orang pada satu-satu masa.

“Muzium Feri ini mempunyai empat tingkat menempatkan sembilan zon iaitu galeri sejarah, galeri replika, koleksi feri, bilik tayangan, lorong kenangan, diorama dan galeri seni.

“Bilik enjin dan bilik navigasi menjadi tarikan utama berikutan sebelum ini tidak pernah dibuka kepada orang awam.

a8f55e89 9cad 4e2c 8cab a3dc69aa8c3d

“selain itu, muzium ini mempunyai dek tinjau yang memaparkan pemandangan indah perairan selat negeri di tingkat atas serta beberapa ruangan interaktif sesuai kepada pelbagai lapisan usia.

c619d805 a5c7 4b1b 9355 2dfd28e4e988

“Hampir kesemua bahan atau artifak yang dipamerkan adalah asli, dikumpul daripada feri Pulau Pinang dan juga feri lama lain yang sudah dilupus atau tenggelam,” katanya pada sesi lawatan khas kepada pemberita dan pempengaruh berhampiran Pangkalan Raja Tun Uda yang mana Muzium Feri ditempatkan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata proses renovasi feri Pulau Pinang untuk dijadikan sebagai muzium bermula pada awal 2022 selepas menerima tender yang dikeluarkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) setahun sebelumnya.

ea9aa20d a48c 4685 afab b6942e5f85f4

Tambahnya, proses restorasi muzium feri itu sudah siap pada tahun lalu, namun mengalami kerosakan apabila karam berikutan masalah teknikal.

“Ia adalah kejadian kali kedua ia tenggelam separuh selepas kali pertama iaitu sebelum diambil alih syarikat kami.

“Walau bagaimanapun, perkara itu diatasi dalam tempoh dua minggu dan dipercayaai akibat kegagalan fungsi teknikal.

df1136dc 0368 46fe bc52 f7fe6b0ed4df

“Kos bagi restorasi dan baik pulih yang dibelanjakan adalah sebanyak RM7 juta namun berikutan kejadian itu, ia meningkat sehingga RM10 juta,” ulasnya lanjut.

 Ditanya mengenai faktor keselamatan, Abdul Hadi menjelaskan bahawa Muzium Feri berkenaan dilengkapi dengan sistem keselamatan feri dan turut dipertingkat dengan pemasangan konkrit marin, sensor amaran awal serta pam automatik bagi mengelak risiko kebocoran selain memastikan keselamatan pengunjung.

Muzium Feri berukuran 12 meter lebar dan 56 meter panjang, itu beroperasi pada jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari.

“Pada masa ini muzium feri berkenaan sudah dilawati pengunjung sejak 30 Ogos lalu menerusi fasa percubaan.

“Muzium ini diwujudkan sebagai satu usaha memelihara sejarah pengangkutan feri yang ikonik di Pulau Pinang, sekali gus memberi peluang kepada generasi kini dan akan datang memahami serta menghargai warisan maritim negara,” maklum beliau lagi.

Harga tiket yang dikenakan bagi pengunjung tempatan ialah sebanyak RM29 untuk dewasa manakala kanak-kanak, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU) pula RM15.

Bagi pengunjung asing dewasa dan warga emas pula RM39 manakala kanak-kanak dan OKU RM19, selain tiket VIP pada harga RM59 yang membolehkan pengunjung masuk tanpa perlu menunggu slot.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS