Muzium Lukisan Batik daya tarikan baru tapak warisan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Sebuah Muzium Lukisan Batik pertama dan seumpamanya di negara ini dibuka untuk umum di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini baru-baru ini.

Terletak di Lebuh Armenian di sini, muzium tersebut adalah manifestasi cintakan batik oleh pelukis, Dr. Tan Chong Guan yang telah mengubahsuai rumah kedai tiga tingkat lama kepada sebuah muzium bercirikan sejarah batik di Malaysia.

Menurut Chong Guan, minat melukis batik bermula ketika beliau masih di bangku sekolah apabila diberikan pendedahan oleh guru seni lukisnya, mendiang Datuk Chuah Thean Teng.

“Muzium ini adalah aliran sejarah seni lukis batik.

“Saya bangga untuk menunjukkan bentuk seni yang unik dan keistimewaan batik kepada semua orang,” ujarnya ketika Majlis Pembukaan Muzium Lukisan Batik di Lebuh Armenian di sini baru-baru ini.

Terdapat kira-kira 80 lukisan batik oleh 25 artis tempatan dipamerkan dengan pelbagai medium seni di sini.

Hadir merasmikan muzium berkenaan ialah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, aspek utama kepada warisan adalah seni.

“Untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa, elemen seni dan budaya adalah penting untuk disatukan.

“Muzium ini merupakan nilai tambah dan tarikan kepada pelancong ke tapak warisan” ujarnya di sini.

Muzium Lukisan Batik dibuka dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 5 petang. Waktu operasi hari Sabtu adalah dari jam 10 pagi hingga 3 petang) dan ditutup pada hari Ahad serta cuti umum.