GEORGE TOWN – Muzium Negeri Pulau Pinang kembali dibuka kepada orang ramai selepas hampir sembilan tahun ditutup bagi kerja-kerja pemulihan dan naik taraf, sekali gus memperkukuh komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara sejarah, warisan dan identiti negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pembukaan semula muzium tersebut bukan sahaja mengembalikan sebuah institusi sejarah kepada masyarakat, malah mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan moden bergerak seiring dengan usaha memelihara warisan negeri.
“Pembukaan semula Muzium Negeri Pulau Pinang bukan sekadar menandakan siapnya kerja-kerja pemulihan dan naik taraf sebuah bangunan bersejarah, malah juga melambangkan iltizam Kerajaan Negeri untuk terus memelihara identiti, sejarah dan warisan sebagai asas pembangunan sebuah negeri yang maju tanpa melupakan akar budayanya.
“Sejak dibuka pada tahun 1965, muzium ini menjadi institusi penting dalam pemeliharaan sejarah negeri, dan selepas hampir sembilan tahun ditutup bagi kerja-kerja pemulihan serta naik taraf, ia kini kembali beroperasi sekali gus membuka lembaran baharu dalam memperkukuh institusi warisan yang lebih relevan dengan keperluan semasa,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Muzium Negeri Pulau Pinang di sini pada 23 Julai 2026.

Majlis perasmian pembukaan semula muzium tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib yang diiringi isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai dan isteri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman serta tuan rumah iaitu Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad merupakan antara yang turut hadir.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa projek pemulihan dan naik taraf Muzium Negeri Pulau Pinang membabitkan kos RM18 juta yang dilaksanakan menerusi dua fasa, melibatkan kerja-kerja restorasi bangunan warisan bagi mengekalkan seni bina asal serta pembangunan ruang dalaman dan pameran baharu yang lebih moden, interaktif dan mesra pengunjung.

Tambah beliau, muzium berkenaan kini menampilkan 15 ruang pameran yang menghimpunkan kira-kira 1,200 artifak berkaitan sejarah, budaya dan warisan Pulau Pinang, selain dilengkapi sistem projektor berteknologi tinggi, kiosk interaktif, simulator serta penggunaan pengesan gerakan (motion sensor) bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran pengunjung.
“Kerajaan Negeri percaya bahawa pemeliharaan warisan bukan sekadar memulihara bangunan atau menyimpan artifak, sebaliknya ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam membentuk jati diri masyarakat, memperkukuh perpaduan serta menyemai penghargaan terhadap sejarah dan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Pulau Pinang.
“Selaras dengan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan moden bergerak seiring dengan usaha memelihara warisan.
“Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town, Pulau Pinang memikul tanggungjawab besar untuk memelihara warisan ketara dan tidak ketara mengikut piawaian antarabangsa, sekali gus memperkukuh sektor pendidikan, pelancongan budaya, ekonomi kreatif serta pembangunan komuniti,” ulasnya lanjut.
Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut menyasarkan muzium tersebut menerima sekurang-kurangnya 2,500 pengunjung setiap bulan atau kira-kira 30,000 pengunjung setahun berdasarkan pembaharuan yang dilaksanakan serta kedudukannya yang strategik di tengah-tengah George Town.
“Adalah diharapkan Muzium Negeri Pulau Pinang akan terus menjadi pusat rujukan ilmu, penyelidikan dan pendidikan sejarah, di samping menjadi platform yang menghubungkan masyarakat dengan warisan negeri yang amat bernilai,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : LAW SUUN TING