MENYEDIAKAN perkhidmatan penghantaran barangan mentah sehingga ke hadapan pintu rumah, itu yang ditawarkan oleh syarikat Mutiara Bersatu melalui aplikasi MyPasar2U bagi memudahkan urusan para pelanggan pada harga berpatutan.
Perkhidmatan tersebut jelas memberikan penjimatan yang ketara kepada pelanggan khususnya dari aspek masa termasuk kos sampingan seperti petrol dan parkir.
Justeru, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI sempat mengaturkan sesi wawancara bersama-sama pengasas MyPasar2U, MUHAMAD NAJIB KUDUS dan Pengurus MyPasar2U, MUHAMMAD EDDIE HAKIM baru-baru ini.
Menurut Muhamad Najib, perkhidmatan tersebut pada mulanya diasaskan tujuh tahun lalu melalui syarikat Mutiara Bersatu dengan pengoperasian kedainya di Pasar Awam Taman Tun Sardon.
“Setelah tujuh tahun saya ada kira-kira 20 orang kakitangan termasuk penghantar, pengurusan, bahagian operasi dan lain-lain.
“Perniagaan ini pada asalnya dimulakan dengan pasar biasa sahaja, lepas daripada itu saya mula berfikir kenapa tidak jalankan perniagaan home to home yang boleh memudahkan pelanggan.
“Bermula dengan menggunakan aplikasi Whatsapp, Telegram, Facebook dan Instagram sebelum ini, kemudiannya menggunakan aplikasi sendiri MyPasar2U, kini semua barangan yang diniagakan juga adalah barangan segar milik sendiri,” ujarnya.
Antara barangan popular yang diniagakan adalah ikan, udang, ayam, sayur-sayuran, santan dan barangan kisar yang lain.
“Setakat ini aplikasi MyPasar2U sudah dimuat naik lebih daripada 5,000 orang pengguna.
“Namun perkhidmatan ini tidak bergantung pada aplikasi semata-mata, pelbagai platform digunakan seperti apa yang saya terangkan tadi.
“Tidak ketinggalan adalah promosi melalui media sosial untuk tambah pengguna MyPasar2U dan mempromosikan perkhidmatan yang disediakan,” katanya yang pernah berkolaborasi dengan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Dalam menjaga kualiti dengan harga berpatutan, Muhamad Najib berpegang kepada tiga slogan mudah iaitu potong, cuci dan hantar depan pintu rumah.
Beliau meletakkan sasaran utama mengenai produk yang disediakan kepada pelanggan mesti dalam keadaan kualiti yang baik.
“Ikan boleh disiang siap-siap, ayam pun kita bersihkan, untuk pesanan sehari boleh dapat 30 ke 50 pesanan.
“Caj yang dikenakan pula terbahagi mengikut kawasan, di pulau kos penghantaran RM5 kecuali RM10 bagi kawasan Balik Pulau, Batu Feringghi dan Teluk Bahang… kawasan Seberang Perai pun sama RM10.
“Penghantaran juga terbahagi kepada tiga slot, pagi petang dan malam, sebelah pagi pesanan ditutup jam 9.30 pagi; untuk slot tengah hari, 1 petang dan malam ditutup jam 6.30 petang,” ulasnya.
Kerja-kerja penghantaran akan dilakukan oleh lima orang penghantar dan sekiranya tidak mencukupi, perkhidmatan luar akan digunakan mengikut keperluan.
Muhamad Najib juga tidak lari daripada menerima dugaan apabila pernah ditipu pelanggan yang membuat pesanan dan sudah dihantar tetapi tidak mendapat bayaran,
Rentetan kejadian itu beliau sering menasihatkan anak buahnya supaya lebih berhati-hati dan tidak lagi melayan permintaan yang dirasakan berbaur penipuan.
Difahamkan kejadian tersebut melibatkan kerugian ribuan ringgit.
Bercakap mengenai harapan, Muhamad Najib mahu memperkasakan pemasaran MyPasar2U agar dapat memudahkan pelanggan mendapatkan barangan basah melalui perkhidmatan yang disediakan.
“Kalau boleh mahu jadikan aplikasi MyPasar2U ini satu keperluan kepada semua bukan kehendak.
“Apabila orang ingat pasar sahaja, orang ingat pasar dalam talian MyPasar2U, pembelian cuma di hujung jari bersama servis yang berkualiti dan bersih,” katanya menutup bicara.