PENANTI – Pencapaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bukan sahaja mencerminkan kejayaan infrastruktur digital, malah menjadi asas penting dalam membina masyarakat yang berpengetahuan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim dekat NADI Kubang Semang di sini sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, pengiktirafan oleh International Telecommunication Union (ITU) terhadap NADI sebagai Digital Transformation Centre (DTC) merupakan satu pencapaian berprestij yang mencerminkan komitmen negara dalam merapatkan jurang digital secara inklusif dan menyeluruh.
“Kehadiran ke NADI Kubang Semang, Yayasan AMAN bukan sekadar merasmikan sebuah pusat komuniti digital, sebaliknya menjadi simbol kejayaan Malaysia mengangkat inisiatif tempatan ke pentas dunia.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada NADI dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas kejayaan membanggakan ini.
“Malah, kejayaan tersebut turut diperakui di platform World Summit on the Information Society (WSIS), sekali gus membuktikan bahawa inisiatif berasaskan komuniti negara mempunyai nilai, kekuatan serta impak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis berkaitan.


Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Parlimen serta Ahli-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa kejayaan tersebut adalah selari dengan gagasan Visi Penang2030, yang mana Kerajaan Negeri komited membina sebuah negeri pintar dan inklusif, dengan manfaat digital dinikmati hingga ke akar umbi termasuk di Kubang Semang.
“Sehingga kini, sebanyak 42 pusat NADI telah beroperasi sepenuhnya di Pulau Pinang termasuk 39 pusat baharu, yang berperanan sebagai pemangkin menghubungkan rakyat kepada peluang ekonomi digital, memperkasa pembelajaran sepanjang hayat serta membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang.
“Lebih penting, kejayaan komuniti NADI membuktikan bahawa inisiatif ini memberi impak nyata melalui peningkatan pendapatan isi rumah, peluasan peluang pekerjaan dan pengukuhan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu turut mengingatkan bahawa kemajuan digital turut hadir bersama cabaran serius, khususnya ancaman keselamatan siber.
“Berdasarkan statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, kerugian akibat jenayah siber di Pulau Pinang bagi enam bulan pertama tahun 2025 mencecah RM112.9 juta, meningkat berbanding RM70.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
“(Manakala) di peringkat nasional, jumlah kerugian akibat penipuan kewangan pula meningkat 76 peratus kepada RM2.77 bilion sepanjang tahun 2025, dengan lebih 74,000 kes dilaporkan setiap tahun.
“Sehubungan itu, peranan NADI kini semakin kritikal melalui tiga fokus utama iaitu memperkukuh literasi digital komuniti, memperkasa generasi muda melalui pendidikan teknologi serta memperluas peluang ekonomi secara selamat.
“(Justeru) melalui pendekatan ini, kita mahu rakyat bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga celik risiko, mampu mengenal pasti pelbagai bentuk penipuan digital yang semakin kompleks,” ulasnya lanjut.
Dalam pada itu, Anwar ketika berucap menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri atas komitmen luar biasa dalam memacu agenda transformasi digital.
“Ketua Menteri Pulau Pinang merupakan antara pemimpin negeri yang berada di hadapan dalam pelaksanaan transformasi digital.
“Usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan inisiatif digital diselaraskan dengan pelaksanaan NADI membolehkan manfaat teknologi diperluas hingga ke kawasan komuniti.
“Oleh itu, NADI berperanan sebagai instrumen penting dalam menyampaikan agenda pendigitalan kepada rakyat, sekali gus memastikan usaha transformasi digital negara dapat dirasai secara menyeluruh di peringkat akar umbi,” katanya.
Fahmi sebelum itu menjelaskan bahawa transformasi digital bukan sekadar menyediakan kemudahan teknologi, sebaliknya merupakan usaha menyeluruh untuk membantu rakyat membina kehidupan yang lebih baik.
“Pendekatan tersebut menjadi asas kepada pelaksanaan inisiatif NADI, yang memberi penekanan kepada pemerkasaan rakyat agar mampu memanfaatkan teknologi secara berkesan dalam kehidupan seharian.
“Di samping itu, pelbagai agensi akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh fungsi NADI sebagai hab kompetensi digital negara, termasuk melalui peluasan program literasi digital, pembangunan kemahiran baharu serta peningkatan akses kepada peluang ekonomi.
“NADI diharapkan terus menjadi pemangkin penting dalam membina masyarakat digital yang lebih inklusif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” ujarnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN