Naik harga minyak menjelang Deepavali ‘berita buruk’ – MP

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menjelang perayaan Deepavali sebagai berita buruk bagi seluruh rakyat, khususnya penganut agama Hindu.

“Tahun lepas menjelang Deepavali, dia (Kerajaan Pusat) menaikkan harga gula, tahun ini, sebelum Deepavali dia (Kerajaan Pusat) menaikkan harga petrol pula,” ujarnya pada program ziarah dan memberi sumbangan baucar RM50 kepada 52 penganut Hindu terpilih di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti ( JKKK ) Kampung Alma, Mejar ( B ) Mustafa Ariffin turut sertai program turun ke desa berkenaan.

Menurut Chee Keong, dasar Kerajaan Pusat menaikkan harga minyak sekaligus akan meninggalkan kesan berantai seperti kos sara hidup melambung naik.

Justeru, baginya, pemberian baucar RM50 kepada semua penerima adalah lebih diperlukan daripada mengadakan majlis rumah terbuka seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Selalunya, mereka datang ke rumah terbuka yang kita anjurkan, tetapi, kali ini kita pula ke rumah mereka.

“Saya rasa pemberian baucar bernilai RM50 ini lebih baik kerana penerima boleh membeli apa yang benar-benar mereka perlukan,” jelasnya.

Salah seorang penerima terpilih, D. Devasagayam, 60, berkata, kesemua wakil rakyat Pakatan Rakyat seharusnya lebih tegas memprotes kenaikan harga minyak di Dewan Rakyat supaya dasar Kerajaan Pusat lebih menguntungkan rakyat.

“Kalau boleh harga minyak ini tidak naik kerana apabila harga minyak naik, harga barang-barang keperluan rumah semua pasti naik (seperti) harga gas masak pun naik,’’ kata beliau.

Nada sama turut diluahkan M. Nadharaja, 37, pekerja swasta.

“Semua barang sudah naik harga dan kita nak raya (Deepavali) cukup terasa susah.

“Gaji tak naik, tetapi harga barang terus naik…lagi baik pembaziran dihentikan dulu daripada potong subsidi minyak,” seru Nadharaja.

Bagi R. Mageswari, 48, yang merupakan suri rumah sepenuh masa pula, beliau berkata, perbelanjaan sempena perayaan Deepavali tahun ini lebih dikawal ekoran kenaikan harga minyak serta barang keperluan asasi.

“Apabila semua barang keperluan rumah cukup mahal, memang terasa tak syok raya (Deepavali) tahun ini,” ujarnya.

Terdahulu, harga runcit terbaru seliter RON95 dan diesel mulai 3 Oktober lepas masing-masing naik menjadi RM2.30 dan RM2.20.