Naik taraf 10 lif Mutiara Height Apartment, Kerajaan Negeri biayai 80 peratus kos

Admin

SUNGAI PINANG – Penantian penduduk rumah pangsa swasta Mutiara Height Apartment selama kira-kira empat tahun akan berakhir tidak lama lagi apabila Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengumumkan projek pembaikan kesemua 10 unit lif di sini pada pagi tadi.

JAGDEEP Singh Deo.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menyatakan bahawa keseluruhan kos bagi projek penarafan tersebut adalah RM310,000, dengan RM248,000 atau 80 peratus kos akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).

Manakala, ‘ejen pengurusan sementara’ bagi badan pengurusan bersama (JMB) penduduk pula akan menanggung baki RM62,000 atau 20 peratus daripada keseluruhan kos projek tersebut.

SELEPAS sidang media di sini pada pagi tadi.

“Ia mungkin kerja-kerja penambahbaikan lif paling besar.

“Saya mengharapkan komitmen semua penduduk agar dapat memberikan kerjasama antara satu sama lain dan menjaga segala kemudahan terutama lif yang sedang dibaik pulih ini,” ujarnya kepada pemberita di sini pada 6 September 2020.

R.S.N Rayer

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; wakil Bahagian Perumahan Negeri; Pengerusi Persatuan Penduduk Mutiara Height Pulau Pinang, Muhd Arshad Abd. Rahman dan ejen-ejen pengurusan sementara JMB turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Dalam perkembangan sama, Jagdeep memberitahu Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 hingga bulan September 2020 ini telah membelanjakan hampir RM256.86 juta bagi projek-projek penyelenggaraan perumahan awam dan swasta di Pulau Pinang.

Muhd Arshad Abd. Rahman

Sementara itu, Muhd Arshad, 28, memberitahu bahawa projek penarafan tersebut akan membawa faedah kepada penduduk di 1,075 unit rumah strata di kedua-dua blok A dan B yang setinggi 29 tingkat.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memberitahu bahawa sasaran pembekalan 180,000 unit rumah mampu milik (RMM) mungkin akan dipertingkatkan lagi demi merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat yang terjejas teruk dek pandemik COVID-19 baru-baru ini.

“Dengan keadaan semasa (pandemik COVID-19), kalau dipertikaikan jumlah pembekalan rumah kos rendah dan sederhana rendah, saya sangat suka kerana kalau pemaju serta pihak berkepentingan nak jual rumah RM1 juta sekarang, siapa nak beli.

“Jadi, saya dah bincang dengan Kerajaan (Negeri) dan Ketua Menteri saya (iaitu YAB Tuan Chow Kon Yeow) dan beliau telah bersetuju, dan saya sedang merangka suatu perancangan baharu,” jelasnya lagi sambil menganggap sektor perumahan mampu merangsangkan lagi kuasa membeli rakyat di Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN