Naik taraf Dewan Badminton Seri Bagan Jermal siap sepenuhnya, kini dibuka kepada orang awam

Admin

BAGAN JERMAL – Kerja-kerja menaik taraf Dewan Badminton Seri Bagan Jermal kini telah siap sepenuhnya dan mula dibuka untuk sewaan kepada orang ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee berkata, kerja-kerja menaik taraf dewan berkenaan menelan kos kira-kira RM12,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

Katanya lagi, kerja-kerja menaik taraf melibatkan pembaikan ruang dalaman seperti mengecat semula, meninggikan lantai, pemasangan karpet yang lebih berkualiti, pemasangan lampu serta penggantian bumbung.

Kemudahan yang dinaik taraf.

“Semasa kita ambil alih dewan ini pada tahun lepas, keadaan dewan ini amat uzur yang mana banyak kelengkapan rosak dan bahagian bumbung juga bocor.

“Selepas dinaik taraf, dewan ini telah memenuhi standard antarabangsa dengan permukaan gelanggang yang lebih selesa dan berkualiti tinggi.

“Di bahagian luar pula kita telah naik taraf sistem saliran bagi mengelakkan air memasuki kawasan dewan sekiranya hujan lebat,” ujarnya yang juga Exco Belia dan Sukan pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut hadir, wakil penaja dan ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Simpah.

Mengulas lanjut, Lip Chee memberitahu bahawa dewan tersebut kini telah dibuka kepada orang awam atau mana-mana pihak yang berminat dengan bayaran sebanyak RM12 untuk satu jam.

“Kita juga membuka ruang kepada sesiapa yang mahu menjadikan dewan ini sebagai akademi badminton yang mana sekiranya ada jurulatih-jurulatih berhasrat untuk melatih atlet baru khususnya pelajar sekolah rendah boleh hubungi kami,”

Dewan Badminton Seri Bagan Jermal terletak di Jalan Tingkat Melur 1, Taman Sin Tat, Butterworth dan dikendalikan oleh pihak MPKK Kampung Simpah.

Bagi yang berminat untuk menyewa dewan berkenaan boleh hubungi Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal di talian: 04-331 0163 atau pihak MPKK Kampung Simpah di talian : 018-666 9848.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : TAN ZHI EN