GEORGE TOWN – Projek naik taraf Jalan Bawah Penaga dan pembinaan jambatan baharu dijangka memberi impak positif kepada sistem perhubungan, keselamatan serta pembangunan ekonomi setempat di kawasan Penaga dan sekitarnya.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa projek berkenaan kini berada di peringkat reka bentuk secara dalaman (in-house) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, dengan jangkaan proses perolehan kontraktor diiklankan pada suku kedua tahun 2027.
“Kerja-kerja fizikal di tapak dijangka bermula pada suku keempat tahun hadapan.
“Projek ini direka bentuk dengan menyediakan sistem jalan raya yang lebih kondusif bagi memberi keselesaan kepada pengguna serta menjimatkan masa perjalanan.
“Apabila siap kelak, ia akan meningkatkan aksesibiliti ke kawasan pasar, sekolah dan taman di antara kawasan Pasir Gebu dan Penaga,” katanya ketika menjawab Soalan Lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah pada Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini.
Mengulas lanjut, Zairil menyatakan bahawa projek tersebut turut dijangka mengurangkan kesesakan di Jalan Permatang Bendahari yang merupakan laluan utama sedia ada menghubungkan Penaga, Pasir Gebu dan Kuala Muda.
“Dengan adanya laluan alternatif ini, kesesakan terutama pada musim cuti yang melibatkan peningkatan kenderaan ke kawasan pelancongan seperti Kampung Agong dapat dikurangkan.
“Secara tidak langsung, ia turut meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta memberi impak positif kepada aktiviti ekonomi setempat,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Tanjong Bunga.
Dalam perkembangan sama, Zairil turut memaklumkan bahawa reka bentuk projek masih belum dimuktamadkan, justeru sesi libat urus bersama-sama penduduk setempat belum dilaksanakan oleh pihak JKR.
“Difahamkan, pelaksanaan projek tersebut juga berkemungkinan melibatkan proses pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan infrastruktur berkenaan.
“Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat awal kerana kita sedang menunggu reka bentuk yang dimuktamadkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Selepas itu, barulah proses libat urus akan dilaksanakan, termasuk menilai keperluan pengambilan tanah yang mungkin menjejaskan beberapa buah rumah di kawasan terlibat,” jelasnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN