Kelestarian sungai, laksana program anak angkat sungai libat komuniti setiap daerah

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Sungai Ara yang pernah diiktiraf sebagai sungai terbersih dalam negara pada 2015 berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahun ini, dijadikan program angkat sungai di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP) Daerah Barat Daya (DBD).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, bermula tahun ini, bagi menjaga kelestarian sungai-sungai di Pulau Pinang, JPS di setiap daerah dikehendaki menjalankan program anak angkat sungai yang turut melibatkan komuniti setempat secara langsung bersama-sama agensi kerajaan.

“Tahun ini, JPSPP Daerah Barat Daya telah memilih Sungai Ara yang terletak di Taman Linear sebagai program anak angkat bagi menjalankan aktiviti JPS @Komuniti.

“Lanjutan itu, JPSPP Daerah Barat Daya telah menjalankan kerja menaik taraf sungai ini dengan anggaran kos sebanyak RM45,000 yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri.

“Kos ini adalah melibatkan kerja-kerja pengorekan, pembinaan lintasan (stepping zone) di atas sungai dan kerja pengukuhan tebing bagi memberi keselesaan kepada pengguna dan penduduk,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota ketika mengadakan lawatan ke Sungai Ara di sini baru-baru ini.

Bersempena lawatan berkaitan, Kon Yeow yang turut ditemani Jurutera JPSPP Daerah Barat Daya, Haslinda Mohamad Hamran adalah bagi melihat kerja-kerja naik taraf yang telah selesai dilakukan.

Hadir sama, Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Ria Sungai Ara, Eric Chee.

Menurut Kon Yeow, JPSPP melalui Jawatankuasa Kerja Task Force Pencemaran Sungai dan Laut Negeri Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 2014 telah merangka pelbagai program dan inisiatif secara struktur serta bukan struktur dalam menangani isu pencemaran dan memastikan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan kesedaran awam.

“Konsep semulajadi diterapkan di dalam kerja pemuliharaan sungai bagi menggalakkan penduduk dan pengguna taman ini supaya menghargai serta menghayati nilai flora dan fauna yang terdapat di sekelilingnya.

“Diharap usaha murni ini dapat membuka minda komuniti untuk menjaga kebersihan sungai kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” seru beliau.

Difahamkan, Sungai Ara merupakan program anak angkat sungai kedua selepas program pertama iaitu sebatang anak sungai di Taman Botani. Manakala, Sungai Mati dipilih sebagai anak angkat sungai bagi Daerah Timur Laut.