Naik taraf Jalan P. Ramlee bernilai RM5 juta harap kurang impak banjir kawasan sekitar

Admin

DATUK KERAMAT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap projek menaik taraf Jalan P. Ramlee dengan meninggikan jalan raya serta saliran kawasan tersebut dapat mengurangkan impak banjir di kawasan setempat.

 

“Ini merupakan sebuah projek berskala sederhana yang dilaksanakan di Jalan P. Ramlee serta laluan-laluan berdekatan dengan meninggikan aras jalan dan menaik taraf sistem saliran yang mana termasuk pembinaan dua rumah pam untuk mengepam air keluar dari takungan parit-parit baru dibina.

 

“Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran memaklumkan bahawa setakat ini RM5 juta telah diperuntukkan untuk menyempurnakan projek ini,” ujarnya pada sesi lawatan ke tapak projek tersebut bersempena Siri Jelajah ❤️PENANG ke Parlimen Jelutong di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut, Rosli Halim.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa terdapat sebahagian lagi daripada projek berkaitan masih berjalan di persimpangan Jalan Terengganu yang dijangka siap pada Disember ini.

 

“Tetapi sebelum ini saya pernah nyatakan, selagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang tidak dijalankan atau disiapkan, maka dalam keadaan tertentu (hujan lebat luar biasa) projek-projek sederhana seperti ini pun tidak mampu menyelesaikan masalah banjir kilat.

 

“Ini kerana sistem-sistem perparitan di sini semuanya mengalir masuk ke Sungai Jelutong dan Sungai Pinang dalam satu lembangan yang sama.

 

“Bermula dari bulatan Jalan P. Ramlee ke Jalan Terengganu hingga ke persimpangan Jalan Perak boleh disifatkan sebagai kawasan hitam, dan diharapkan projek ini akan menyelesaikan masalah banjir sekitar taman dan kampung berhampiran,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah dan Ekonomi & Komunikasi.

 

Kon Yeow dalam pada itu sempat mengimbau kembali tragedi banjir besar tahun 2017 yang menyebabkan paras air naik setinggi dua tingkat di rumah pangsa berhampiran.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : DARWINA MOHD. DAUD