Naik taraf lif, surau Pangsapuri 88 Puncak Erskine demi selesa penghuni – MP Bukit Bendera

KEBUN BUNGA – Penduduk Pangsapuri 88 Puncak Erskine pasti menarik nafas lega apabila lif usang dinaik taraf melalui kelulusan peruntukan Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Pulau Pinang (TPM80PP).

Ahli Parlimen (MP) Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid ketika ditemui memaklumkan bahawa kerja penyelenggaraan bagi menaik taraf lif di Pangsapuri 88 Puncak Erskine sedang dilaksanakan.

“Ekoran isu lif usang yang dikemukakan oleh penduduk, Kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan TPM80PP sebanyak RM388,600 bagi menyelenggara empat (4) buah lif di pangsapuri berkenaan.

“Bukan itu sahaja, dek prihatin akan situasi yang menimbulkan kegelisahan penduduk, pihak saya turut menyalurkan sebanyak 10 peratus atau RM38,860 dari kos yang sepatutnya dijelaskan oleh JMB (Badan Pengurusan Bersama) melalui peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR). Baki akan ditanggung oleh pihak JMB di sini.

“Diharapkan pengumuman ini dapat memberi kelegaan kepada semua penduduk di sini berkenaan permasalahan lif yang telah usang yang sedang dalam proses penaiktarafan oleh kontraktor terbaik dari Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LMNPP),” ujarnya semasa sidang media yang diadakan pagi tadi dekat Pangsapuri 88 Puncak Erskine.

SYERLEENA Abdul Rashid semasa sesi sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Hadir sama, calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kebun Bunga, Lew Boon Heng; calon DUN Paya Terubong, Wong Hon Wai; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), N. R. Kaliapan serta Pengerusi JMB Pangsapuri 88 Puncak Erskine, Nursuryani Othman.

 

GAMBAR menunjukkan lif usang yang menjadi isu yang timbul di kalangan penduduk pangsapuri 88 Puncak Erskine.

Dalam pada itu, Syerleena turut menyatakan bahawa permohonan peruntukan untuk menambah baik surau sedia ada turut diluluskan.

“Cakna akan kebajikan penduduk terutamanya yang beragama Islam, surau yang sedia ada di sini bakal ditambah baik agar lebih selesa dan kondusif.

“Oleh itu, diharapkan inisiatif sedemikian berupaya membantu komuniti di sini dalam mewujudkan keharmonian rakyat majmuk di Pulau Pinang,” ulasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN