Naik taraf lorong belakang demi menarik kembali penduduk kunjungi George Town

GEORGE TOWN – Dalam tempoh lima tahun, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menaik taraf lorong-lorong belakang sepanjang 9 kilometer (km) serta kawasan-kawasan lapang seluas 10 ekar di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap projek penarafan itu dapat mengembalikan semula penduduk ke bandar raya ini.

“Ini, selaras dengan program ‘repopulating George Town’… dengan projek pengindahan, ia akan menjadi sumber tarikan kepada penduduk-penduduk untuk kembali ke kawasan George Town,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat di Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama dekat sini pada 27 Februari 2019.

Jagdeep memberitahu bahawa projek tersebut akan dilaksanakan secara perkongsian awam, swasta dan profesional (PPPP), yang melibatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada sektor swasta memandangkan MBPP mempunyai peruntukan yang agak terhad.

Bercakap pada sidang media sama, ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri menyatakan bahawa pihaknya berharap semua projek penarafan tersebut mendapat maklum balas penduduk setempat terlebih dahulu, sebelum dilaksanakan.

Dalam pada itu, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. Yew Tung Seang pihaknya berharap banyak pihak dapat tampil bagi melaksanakan CSR supaya semua projek penarafan dapat disiapkan lebih cepat daripada tempoh yang disasarkan iaitu lima tahun.

Beliau memberitahu, kerja-kerja penarafan lorong belakang sepanjang tahun 2019 adalah meliputi 100 meter (m) Lebuh Armenian, Lebuh Gereja (100m), Lebuh Acheh (100m), Lebuh Kimberley (50m), Jalan Cheong Fatt Tze (150m) dan Lebuh Chulia/Jalan Penang (500m).

Bagi tahun 2020 pula, tambah Tung Seang, kerja-kerja penarafan sama akan dilaksanakan di sepanjang 200m Lorong Lumut, Peoples Court (600m), Lebuh King (200m), Lorong Song Hong (150m), Jalan Kampung Malabar (300m), Jalan Pintal Tali (250m) dan Jalan Sri Bahari (200m).

“Keseluruhan lorong belakang yang telahpun dikenal pasti untuk dinaik taraf pada tahun ini (2019) adalah sepanjang 1km, dan 2km semuanya pada tahun hadapan (2020),” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN