GEORGE TOWN – Selepas lapan tahun ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf, Muzium Negeri Pulau Pinang yang terletak di Lebuh Furqaha di sini sedia untuk dibuka semula kepada umum pada pertengahan tahun ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata projek restorasi dan menaik taraf yang menelan kos keseluruhan berjumlah RM18 juta itu telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri.
“Hari ini kita menyaksikan penyerahan muzium ini daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP).
“Selepas ini, pihak LMNPP akan menjalankan kerja-kerja kurator yang dijangka mengambil masa beberapa bulan, sebelum ia dibuka kepada pengunjung yang dijangka pada pertengahan tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-kerja Hiasan Dalaman dan Kerja-kerja berkaitan dekat sini sebentar tadi.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Mohamed Abdul Rahman; Pengarah JKR Pulau Pinang, Dato’ Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid; Pengarah Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad dan Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Zalena Abdul Aziz.
Hon Wai berkata, projek restorasi berskala besar itu bertujuan mengembalikan rupa bentuk bangunan berusia lebih 200 tahun seperti mana kegemilangannya dahulu, sekali gus mematuhi piawaian tertinggi standard antarabangsa dan bersesuaian dengan kedudukannya di tengah-tengah Zon Warisan Dunia George Town.
Katanya, matlamat utama pengubahsuaian bukan sahaja untuk memulihkan ikon bersejarah, malah untuk mewujudkan sebuah muzium kontemporari yang lengkap berfungsi sebagai sumber penting bagi pembangunan kebudayaan negeri Pulau Pinang.
“Muzium Negeri Pulau Pinang diberi nafas baru dengan menempatkan seksyen pameran yang berkonsepkan “Rukun Negara” di dalam bangunan bersejarah yang bercirikan sekolah.
“Pengenalan konsep baharu ini bakal memberi pengalaman kepada para pengunjung untuk menerokai dan mengimbas kembali pengalaman atau suasana seperti berada di sekolah, di samping menghayati paparan koleksi-koleksi agung Muzium Negeri Pulau Pinang.
“Justeru, saya berharap agar pembukaan semula Muzium Negeri Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan dan kebudayaan di negeri ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Mengulas lanjut, Hon Wai menjelaskan bahawa tahun 2026 bakal menyaksikan banyak pembukaan galeri-galeri baharu di negeri ini.
“Tahun ini adalah tahun aktif bagi pemuziuman dan seni dengan pembukaan beberapa lagi galeri termasuk Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah pada 24 Januari ini dan Galeri Automotif di Jalan Mecalister (Februari).
“Selain itu, Dewan Sri Pinang juga akan ditutup sementara untuk memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih bermula hari ini,” katanya.
Sementara itu, Haryany berkata Muzium Negeri Pulau Pinang akan memperkenalkan konsep baharu seperti penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), Augmented Reality (AR) dan lain-lain.
“Memandangkan bangunan ini merupakan bekas tapak sekolah (Penang Free School), maka semua pameran dibahagikan mengikut kelas seperti subjek sains, seni dan persembahan.
“Tujuannya adalah untuk membolehkan pengunjung melihat dan merasai pengalaman atau suasana seperti berada di sekolah, di samping menghayati paparan koleksi muzium apabila dibuka kelak,” ujarnya.
Difahamkan, bangunan Muzium Negeri Pulau Pinang merupakan bangunan dua tingkat era kolonial dan diiktirafkan sebagai Warisan Kebangsaan yang berusia lebih 200 tahun.
Bangunan itu telah dibina melalui hasil dermaan Syarikat Hindia Timur pada tahun 1817 dibawah kelolaan Kapten Robert Smith untuk dijadikan sebuah pusat pendidikan iaitu Sekolah Penang Free.
Pada tahun 1961, Kerajaan Negeri menerima cadangan Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menjadikan bangunan tersebut sebagai muzium.
Sehubungan itu, Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang telah ditubuhkan pada tahun 1964 dan dibuka dengan rasminya oleh Gabenor Pulau Pinang yang pertama, Yang Amat Mulia Tun Raja Uda Al- Haj bin Raja Muhammad pada 14 April 1965.
Pada 14 April 2017 bersempena dengan ulang tahun ke-52, Muzium Negeri Pulau Pinang ditutup untuk memberi laluan kepada kerja-kerja restorasi dan baik pulih bangunan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS