Naik taraf Padang Awam Teluk Kumbar bakal dibawa ke peringkat seterusnya

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa cadangan menaik taraf Padang Awam Teluk Kumbar kali kedua akan dibawa ke peringkat selanjutnya tahun hadapan.

 

Beliau berkata demikian ketika melawat padang tersebut yang siap dinaik taraf baru-baru ini dengan peruntukan Kerajaan Negeri bernilai RM200,000 bersempena Jelajah ❤️PENANG Parlimen Balik Pulau petang tadi.

“Di DUN (Dewan Undangan Negeri) Bayan Lepas, kita tahu YB Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas) banyak bangkitkan isu setempat khususnya membabitkan dewan orang ramai tertutup dan juga berhubung pengurusan serta penyeliaan dewan kepada Kerajaan Negeri supaya ia dapat dipulihkan dan dibuka semula.

 

“Bagi padang bola sepak (padang awam) yang masih memerlukan kerja-kerja naik taraf, kita akan bawa isu ini melalui proses kerja-kerja tanah dan sebagainya pada tahun akan datang,” ujarnya yang turut menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan melibatkan Kelab Bola Sepak Teluk Kumbar di sini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan pemimpin-pemimpin komuniti setempat.

Dalam sesi jelajah ke Teluk Kumbar sebagai lokasi terakhir, Kon Yeow turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ikon Sukan Bola Sepak DUN Bayan Lepas kepada Mohamad Firdaus Muhamad dan Sijil Penghargaan Ikon Atlet Sukan Layar (Pingat Emas Sukan SEA) kepada Israr Hazim Ismail.

 

Mengulas mengenai Jelajah ❤️PENANG yang giat dijalankan kini, Kon Yeow menyatakan bahawa ia adalah sebagai pemangkin semangat kepada rakyat Pulau Pinang untuk bangkit semula pasca pandemik COVID-19.

 

“Walau apa jua sektor, saya percaya semua pihak terjejas ekoran pandemik ini, dan sebagai Kerajaan Negeri, kita akan bersama-sama rakyat pulihkan sosio ekonomi untuk kehidupan rakyat yang lebih sejahtera,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

 

Dalam merealisasikan Teluk Kumbar sebagai bandar sukan pula, Azrul Mahathir berharap Kerajaan Negeri juga dapat membantu membina gelanggang futsal dan sepak takraw selain usaha naik taraf Padang Awam Teluk Kumbar yang dijalankan kini.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : DARWINA MOHD. DAUD