Naik taraf pangkalan feri: Pulau Pinang tunggu laporan penuh MOT

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu laporan penuh daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung pelan perancangan keseluruhan kerja-kerja menaik taraf serta pengoperasian feri baharu.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dalam pertemuan bersama-sama Menteri Pengangkutan pada 27 Ogos lalu di Putrajaya, suatu kata sepakat telah dicapai.

 

Dalam pertemuan tersebut, MOT akan menyediakan laporan lengkap dan penuh merangkumi jenis feri yang akan beroperasi serta kerja-kerja pengubahsuaian pangkalan.

 

“(Walau bagaimanapun), sehingga kini saya masih menunggu MOT untuk memberikan makluman berkaitan kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

 

KETUA Menteri bersama-sama perwakilan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghadiri pertemuan dengan pihak Kementerian Pengangkutan pada 27 Ogos lalu.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pengangkutan memaklumkan bahawa beliau ada menyatakan kepada pihak MOT berkenaan perkhidmatan feri sedia ada kini bukan sahaja dapat menampung penumpang tetapi juga pengguna basikal, motosikal dan lain-lain kenderaan persendirian.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) cuma berharap MOT dapat memenuhi keperluan ini (apabila mencadangkan penggunaan feri baharu) kelak,” katanya.

 

Ditanya mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk mendapatkan laporan penuh berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa baik di pihak Kerajaan Negeri mahupun MOT tidak menetapkan sebarang ketetapan masa.

 

“Pun begitu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta bagi tujuan pembelian feri baharu dan kerja-kerja berkaitan,” jelasnya.

 

Terdahulu, melalui suatu makluman yang diterima menyatakan bahawa mulai 1 September 2020, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) bakal mengambil alih operasi perkhidmatan feri daripada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

 

Selain itu, turut dimaklumkan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian pangkalan feri akan mengambil masa selama tiga bulan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG