Naik taraf sistem saliran dari Jalan Terengganu ke Lengkok P. Ramlee siap Disember

DATUK KERAMAT – Kerja-kerja naik taraf sistem saliran di Jalan P. Ramlee antara Jalan Terengganu hingga ke Lengkok P. Ramlee bernilai RM413, 550 dijangka siap Disember ini.

 

 

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo, projek tersebut diharap mampu mengurangkan impak banjir yang amat buruk sebelum ini.

 

 

“Projek ini melibatkan kerja-kerja naik taraf parit tepi jalan dari saiz sedia ada 0.6 meter (m) kepada 1.8m lebar.

 

 

“Selain itu box culvert pada longkang-longkang ini juga dinaik taraf kepada saiz 2.1m bagi menampung aliran air yang lebih banyak.

 

Projek yang bermula pada Julai lalu diharap akan memberi manfaat kepada penduduk di Jalan P. Ramlee terutamanya premis-premis di persimpangan Jalan Terengganu dan juga Lengkok P. Ramlee,” ujar beliau pada lawatan tapak Projek Naik Taraf Sistem Saliran dan Bahu Jalan di Jalan P. Ramlee di sini, semalam.

 

 

Hadir sama, Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ A. Rajendran dan mantan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

 

 

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memaklumkan, kos keseluruhan projek tebatan banjir dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM6.136,497.60 bagi di DUN terbabit.

 

 

Sebelum ini kerja-kerja menaik taraf sistem saliran dan meninggikan paras jalan juga telah dilaksanakan di sebahagian Jalan P. Ramlee hingga ke persimpangan Jalan Perak.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT