Naik taraf Stadium MBSP Jalan Betek perlu RM5 juta, Exco mohon bantuan Menteri

Admin

PADANG LALANG – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memohon Menteri Belia dan Sukan baharu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membantu Kerajaan Negeri mendapatkan segera peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kira-kira RM5 juta untuk kerja-kerja penarafan kemudahan di Stadium Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Jalan Betek di sini.

Menurut beliau, balapan sedia ada di sini umpamanya adalah dalam keadaan tidak sempurna, walhal atlet-atlet olahraga negeri sejak dua hari lepas telah kembali ke arena untuk memulakan sesi latihan bagi menyahut saingan dalam pelbagai kejohanan, termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang ditangguhkan ke bulan Mac tahun hadapan.

SOON Lip Chee (dua dari kiri) diiringi Harry Chai Heng Hua (kanan sekali) mendapatkan maklum balas daripada beberapa atlet olahraga negeri di balapan Stadium MBSP Jalan Betik di sini pada pagi tadi.

“Sebenarnya sejak saya menjadi Exco pada tahun 2018 lagi, saya telah meminta peruntukan KBS untuk naik taraf kemudahan infrastruktur seperti balapan di stadium ini.

“(Bekas Menteri Belia dan Sukan,) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika merasmikan Program Fit Malaysia Zon Utara di Stadium MBSP Jalan Betek ini pada (21 Julai) tahun lepas ada mengulas berhubung peruntukan KBS bagi projek naik taraf stadium ini.

“Jadi, saya mohon menteri sekarang, Reezal Merican, beliau juga orang Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Kepala Batas, untuk bantu saya mendapatkan peruntukan KBS bagi naik taraf stadium ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal ketika melawat para atlet olahraga di sini pagi tadi.

SOON Lip Chee (kiri) saling berbincang dengan jurulatih pembangunan atlet olahraga MSSN, Olesya Gasparyan, 34, mengenai pelan latihan para atlet di bawah didikan beliau di balapan Stadium MBSP Jalan Betik di sini pada pagi tadi. 

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua serta wakil MBSP turut sertai lawatan ringkas tersebut.

Selain itu, Lip Chee memberitahu bahawa pihaknya turut berharap Normal Baharu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang tidak menjejaskan sesi latihan para atlet negeri ini.

“Sejak dua hari lepas, atlet olahraga dibenarkan ke arena untuk sesi latihan, jadi saya berharap mereka dapat kembali beraksi dan pulihkan lagi stamina semaksimum mungkin secara perlahan-lahan,” jelasnya lagi.

ROSMARIA Rindiana Rosli Raju.

Sementara itu, atlet larian 1.5 hingga 3 kilometer (km), ROSMARIA RINDIANA ROSLI RAJU, 16, memberitahu bahawa sesi latihan di rumah dengan tunjuk ajar jurulatih berjalan seperti biasa setiap hari, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Jadi, katanya lagi, masuk hari kedua sesi latihan di arena sedikit kekok dengan Normal Baharu.

“Memang Normal Baharu, sebab di balapan pun mesti amal jarak sosial satu (1) meter (m) antara atlet, pakai pelitup muka dan sebagainya,” jelasnya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Damai.

K. Kausegi.

Nada sama turut diluahkan oleh atlet jalan kaki 10km dan 5km, S. KAUSEGI, 18, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Kebangsaan Permai Indah.

Beliau memberitahu bahawa beliau menarik nafas lega kerana SUKMA 2020 yang dijadualkan pada bulan Julai ini telah ditangguhkan ke Mac tahun depan.

Justeru, beliau mempunyai masa yang cukup untuk kembali memulihkan stamina demi merebut pingat dalam kejohanan tersebut.

“Sesi latihan di rumah ketika PKP, OK sahaja, buat latihan sikit-sikit (selama) dua jam sehari, dengan tunjuk ajar jurulatih (menerusi) panggilan video.

“Jurulatih saya juga akan hantar video latihan apa perlu dibuat tiap-tiap hari mengikut jadual latihan semasa.

“Apabila kembali menjalani latihan di balapan, OK lah, seimbang walaupun dalam suasana PKPP, kerana sebelum ini saya menjalani latihan juga di rumah,” jelasnya yang sedang menunggu tawaran melanjutkan pengajian ke Politeknik pilihan.

LEE Xin Mei.

Bagi atlet olahraga negeri kategori larian 10km, LEE XIN MEI, 17, mengaku ‘sedikit payah’ menjalani kembali latihan di arena, memandangkan kira-kira tiga bulan ketika PKP sebelum ini terbiasa dengan latihan kecerdasan terhad di rumah.

“Sesi latihan di rumah ketika PKP sebelum ini, dua jam tiap-tiap hari, tentu lah saya tak boleh dapat impak yang sama seperti latihan di balapan.

“Jadi, apabila kembali ke arena, saya berasa ‘susah sikit’ daripada segi fizikal, tetapi saya yakin boleh cepat pulihkan stamina…sebab dah lepas saringan kelayakan (bagi sesi) latihan untuk ke SUKMA (2020),” jelasnya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS