Naiktaraf 4 persimpangan kurang kesesakan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

 

GEORGE TOWN – Orang ramai yang melalui persimpangan Lebuhraya Peel, Jalan Macalister, Jalan Residensi dan Lebuhraya Codrington diminta supaya mengikuti arahan papan tanda sementara serta arahan pegawai lalulintas bagi memastikan kelancaran lalulintas di kawasan terbabit.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja penyelenggaraan bagi menukar persimpangan bulatan sedia ada ke persimpangan kawalan lampu isyarat giat dijalankan.

“Pihak MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) telahpun memulakan projek menaiktaraf laluan ini sejak 26 September 2014 dan projek yang mengambil masa 36 minggu ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 25 Jun 2015,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaraan di sini baru-baru ini.

Jelas Kon Yeow, kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaran yang menelan belanja RM2,218,877.50 itu dilaksanakan bagi meningkat keupayaan persimpangan laluan dan mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan.

“Selain menaiktaraf persimpangan sedia ada ke persimpangan kawalan lampu isyarat, kos tersebut turut merangkumi pembinaan laluan terus dari Jalan Macalister (Hospital Islands) menuju ke Jalan Residensi tanpa perlu berhenti di persimpangan lampu isyarat, menambahbaik pencahayaan, menurap semula permukaan jalan dalam had sempadan kerja (limits of works) dan menyediakan laluan pejalan kaki ‘concrete imprint’ bagi kegunaan pelajar sekolah berdekatan.

“Malah, kos ini juga termasuk kerja-kerja menaiktaraf sistem peparitan dengan menggantikan earth drain sepanjang 775 meter,” jelasnya yang ditemani Jurutera Lalulintas dan Pengangkutan Awam MPPP, Zainuddin Mohamed Shariff dan wakil dari syarikat kontraktor.

Sebelum itu, tambah Kon Yeow, bagi mengatasi masalah banjir kilat di Jalan Residensi dan kawasan sekitarnya, kerja-kerja menaiktaraf parit dan bahu jalan di Jalan Residensi dari Jalan Sepoy Lines sehingga Jalan Macalister siap sepenuhnya awal tahun ini.

“Selain dapat meningkatkan keupayaan kadar alir longkang sedia ada dengan menukar longkang bersaiz 375 milimeter ke saiz lebih besar iaitu 1200 milimeter, MPPP juga menaiktaraf laluan pejalan kaki mengikut reka bentuk sejagat dengan kos keseluruhan RM388,170,” jelas beliau.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);