Naiktaraf gelanggang demi martabat sukan sepak takraw

AIR ITAM – Demi memartabatkan sukan sepak takraw, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Melayu mengambil inisiatif khas menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Terbuka (Tertutup) Piala Pusingan Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Air Itam) di sini baru-baru ini.

Pengerusi jawatankuasa pertandingan, Khir Johari Mohd. Nasib berkata, sebanyak 32 pasukan berentap pada penganjuran sulung berkaitan.

“Sekiranya gelanggang sedia ada dapat dinaiktaraf, saya dan barisan penganjur bercadang perluaskan pertandingan ini kepada Terbuka Malaysia sekiranya berpeluang.

“Malah, serentak itu, kami akan menghantar surat kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan pihak terbabit mempertimbangkan untuk menyenaraikan kejohanan ini di dalam kalendar sukan negeri atau dipertandingkan pada peringkat penganjuran Pesta Pulau Pinang 2016,’’ katanya ketika ditemui pada Pertandingan Sepak Takraw Terbuka (Tertutup) Piala Pusingan Wong Hon Wai di sini baru-baru ini.

Wong Hon Wai hadir menyempurnakan majlis perasmian dan penutup kejohanan berkaitan. Dalam pada itu, menurut Hon Wai, dalam memartabatkan sukan sepak takraw, sebanyak RM30,000 diperuntukan pihaknya bagi tujuan penaiktarafan gelanggang di sini.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak membolehkan golongan muda-mudi di sekitar Kampung Melayu memaksimumkan penggunaan ia termasuk pada waktu malam,’’ ujarrnya sambil menyatakan bahawa kerja-kerja menaiktaraf siap sepenuhnya pada November tahun lalu.

Pada kejohanan tersebut, pasukan PDRM B muncul juara menewaskan pasukan Kampung Melayu B dengan kiraan 21-16, 19-21 dan 15- 9.

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Jelutong Pantai B dan Kampung Melayu D (keempat).