Naiktaraf Jln. Tun Sardon siap hujung November

Admin
LIM Hock Seng (dua dari kanan), Ahmad Azmil Mohd. Mohktar (kanan), Zaini Husain (kiri sekali) dan Yeoh Soon Hin ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek Menaiktaraf Persimpangan Jalan Tun Sardon/Jalan Paya Terubong di sini baru-baru ini.
LIM Hock Seng (dua dari kanan), Ahmad Azmil
Mohd. Mohktar (kanan), Zaini Husain (kiri
sekali) dan Yeoh Soon Hin ketika mengadakan
lawatan ke tapak Projek Menaiktaraf
Persimpangan Jalan Tun Sardon/Jalan Paya
Terubong di sini baru-baru ini.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


PAYA TERUBONG – Para pengguna kenderaan menghala ke Balik Pulau yang menggunakan Jalan Tun Sardon dan Jalan Paya Terubong bakal mendapat manfaat daripada Projek Rancangan Pembangunan Jalan Negeri Pulau Pinang (fasa tiga) yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung November ini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng berkata, sebanyak RM600,000 telah diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan projek tersebut.

“Projek ini diharap bakal meredakan trafik dari Relau naik ke Balik Pulau dengan menjadikan satu laluan sedia ada kepada dua laluan.

“Hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk menangani masalah kesesakan dan kesibukan trafik di persimpangan ini yang sekian lama menjadi dilema kepada penduduk Balik Pulau, kawasan Paya Terubong dan Relau,’’ ketika Sesi Lawatan Tapak Projek Menaiktaraf Persimpangan Jalan Tun Sardon/Jalan Paya Terubong di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Zaini Husain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin. Menurut Hock Seng, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar mendapat peruntukan daripada pusat untuk membina jejantas dari Balik Pulau terus ke arah Relau, namun, semuanya adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan pusat walaupun pada dasarnya ia telah dipohon sejak tahun 2002 lagi.

Terdahulu, Hock Seng turut mengadakan lawatan kerja ke tapak projek melibatkan tiga fasa proses penaiktarafan di sepanjang Jalan Tun Sardon.

Menerusi lawatan tersebut, beliau turut diberikan penerangan ringkas mengenai status projek yang sedang dilaksanakan oleh pihak kontraktor terlibat.

Dalam pada itu, jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya, Ahmad Azmil Mohd. Mokhtar ketika mengulas lanjut menyatakan bahawa, tiga fasa pelaksanaan pembinaan projek dimulakan pada tahun ini (2012), manakala, fasa terakhir (fasa empat) hanya akan dimulakan pada tahun 2013.

“Fasa pertama, kedua dan ketiga melibatkan penstabilan cerun, pembinaan longkang, pelebaran jalan, menaiktaraf persimpangan jalan dan penstabilan cerun di Jalan Tun Sardon yang telah berjalan serentak dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung November ini.

“Diharap kerja melaksanakan fasa empat dapat dijalankan secepat mungkin tahun depan (2013) sekiranya mendapat peruntukan,” ujar Ahmad Azmil.