Negeri Keusahawanan dan Berkebajikan dilaksana menerusi pentadbiran Cekap, Akauntabiliti & Telus kongsi bersama-sama rakyat

SEJAK 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan bantuan kewangan melalui kepelbagaian program kebajikan kepada  rakyat membabitkan peruntukan sebanyak RM412 juta.

Malah, saban tahun, Kerajaan Negeri senantiasa menambah baik pelaksanaan program-program tersebut atau lebih dikenali sebagai Program Emas.

Menurut Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, perkara pertama yang dilakukan oleh pentadbiran negeri apabila mengambil alih tampuk pemerintahan adalah mewujudkan perangkaian atau ‘networking’ antara kerajaan dan rakyat.

“Sememangnya tidak boleh dinafikan, Kerajaan Negeri sejak 2008 sentiasa membantu rakyat…hampir semua lapisan rakyat hari ini menikmati pelbagai bantuan kewangan melalui Program-program Emas.

“(Dan) ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai peranan dan berjasa dalam menjaga soal kebajikan rakyatnya secara berterusan, malah, adalah menjadi hasrat kita (Kerajaan Negeri) untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Keusahawanan dan Berkebajikan,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD di pejabatnya di Komtar baru-baru ini.

Pengalaman

Tidak pernah lokek berkongsi cerita, Boon Poh turut berkongsi bagaimana sukarnya memulakan sesuatu program kebajikan.

“Program pertama adalah Bantuan Kewangan Miskin Tegar bagi memastikan Pulau Pinang sentiasa berada dalam status miskin tegar sifar.

Waktu itu, kita (Kerajaan Negeri) menggunakan PGK (Pendapatan Garis Kemiskinan) RM500 bagi setiap keluarga sebulan.

“Kemudiannya ditambah baik termasuk faedahnya melalui Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) dengan PGK yang ditetapkan adalah RM790 sebulan dengan minimum sumbangan adalah RM100 dan maksimum RM790.

“Seterusnya, satu-persatu program diperkenalkan seperti Program Penghargaan Warga Emas (mulai 2018, dinaikkan kepada RM130 setiap penerima); Program Bantuan OKU (turut dinaikkan kepada RM130 bagi tahun ini daripada RM100); Program Bantuan Ibu Tunggal (RM100); Program Skim Pelajar Emas (RM100); Program Anak Emas (RM200); Program Ibu Emas (RM100) dan khairat
kematian bagi warga emas serta ibu tunggal berdaftar (RM1,000).

“Semua program ini dapat dilaksanakan kerana pentadbiran CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) dan bersih, serta tanpa mengenakan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) pun… membolehkan kita (Kerajaan Negeri) berkongsi sama rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau turut akan memastikan setiap permohonan diteliti dan diluluskan termasuk sama ada penerima layak serta berdaftar menerima sumbangan yang diberikan.

Perancangan Masa Depan

Apabila ditanya apakah perancangan masa hadapan, Boon Poh memberitahu bahawa beliau berhasrat untuk mewujudkan pusat pelindungan gelandangan.

“Gelandangan ini merupakan isu yang rumit tetapi boleh ditangani dengan mengembalikan semula maruah mereka, memastikan mereka terbela serta menyediakan (pusat) perlindungan asas untuk mereka.

“Buat masa ini, kita hanya memberikan makanan dan juga selimut atau pakaian kepada gelandangan kerana mereka adakala tidak mempunyai pilihan selain hanya melelapkan mata di kawasan-kawasan awam dan kaki lima.

“Disebabkan itulah, saya berhasrat sekiranya segalanya berjalan lancar, pusat perlindungan untuk golongan ini akan diwujudkan,” ujarnya yang turut mengharapkan supaya lebih ramai aktivis hak asasi manusia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu golongan berkaitan.