‘Penang Cun’ sebagai tema pelancongan negeri 2018, cadang KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS

 

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mencadangkan agar tema pelancongan negeri bagi tahun 2018 adalah ‘Penang Cun’ . Cadangan tersebut, katanya, sejajar dengan pencapaian Pulau Pinang kini yang bukan sahaja lebih bersih, lebih hijau, lebih sihat dan lebih selamat, malah juga lebih dikenali seantero dunia.

“Pencapaian terbesar (Pulau Pinang) adalah apabila diiktiraf sebagai salah satu bandar terbersih dalam kalangan negaranegara ASEAN. “Tahniah Pulau Pinang…kerana kita bersih, kerana kita sihat, kerana kita hijau, kerana kita selamat, justeru saya cadangkan tema pelancongan tahun ini adalah ‘Penang Cun’,” ucapnya sebelum pelepasan peserta I Penang Walk dekat Lebuh Pantai di sini 4 Februari lalu.

Difahamkan, lebih 7,000 peserta mengambil bahagian dalam acara berjalan sejauh 5 kilometer melalui George Town Bandar Warisan Dunia. Guan Eng bersama-sama beberapa barisan Exco, Ahli Parlimen dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali turut serta melengkapkan acara berjalan itu. Turut sama, bapa beliau, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.