KN komited perkenal dasar baru majukan industri perikanan – Exco

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) sentiasa komited untuk mengangkat martabat dan taraf kehidupan nelayan ke arah yang lebih baik, kata Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Afif berkata, komitmen tersebut akan diteruskan melalui pemberian subsidi dan elaun sara hidup kepada golongan berkaitan sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya kelak.

“Kami (Kerajaan Negeri) akan tetap meneruskan subsidi dan pemberian elaun sara hidup kepada nelayan apabila PH membentuk Kerajaan di Putrajaya.

“Kami juga komited untuk memperkenalkan dasar-dasar baru untuk memajukan industri perikanan di Malaysia, PH akan melakukan reformasi terhadap sistem melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan ke arah menjadi sebuah agensi yang cekap dan telus dalam memberi khidmat serta menjaga kebajikan para nelayan di seluruh negara,” ujarnya pada sidang media di sini 27 Februari lalu.

Afif berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya melalui sebuah akhbar berbahasa Melayu bertarikh 25 Februari lalu.

Kenyataan tersebut sebagai memetik berkata tidak mungkin PH mampu meneruskan pembayaran elaun tersebut kerana mereka tidak mempunyai dana dan peruntukan yang mencukupi akibat daripada cadangan penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Justeru, Afif menyifatkan bahawa kenyataan Hilmi tersebut adalah sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan satu cubaan untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Sebenarnya tidak tepat, kenyataan tersebut menunjukkan kedangkalan beliau dalam mengurus soal ekonomi negara… kerana yang kita hadapi di peringkat nasional adalah ketirisan dan kebocoran oleh sistem kerajaan (Pusat) iaitu dari segi pengurusan kewangan hingga menyebabkan negara kehilangan berjuta-juta ringgit setiap tahun,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Dalam perkembangan lain, Afif turut menggesa Hilmi agar merealisasikan janji beliau berhubung pembinaan Hospital Balik Pulau (HBP).

“Mana Hospital Balik Pulau yang dijanjikan Hilmi sejak tahun 2012? Sampai sekarang tak buat, dulu bawa melawat tapak bersebelahan hospital (kini) iaitu tanah Persekutuan, tapi masih lagi tak dibina,” katanya.