Negeri mesra basikal pertama negara, Pulau Pinang tawar banyak laluan menarik untuk diterokai – Guan Eng

GEORGE TOWN – Seramai 3,500 peserta menyelusuri laluan sejauh 82 kilometer mengelilingi pulau pagi ini dalam Kempen Laluan Berbasikal atau Campaign For A Lane (CFAL) Edisi Ke-10.

Menariknya, edisi kali ini yang dinamakan ‘Kayuhan Bebas GST’ dilepaskan dalam acara gemilang oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga antara individu tegar meminati kayuhan basikal, dekat Padang Kota Lama di sini.

Guan Eng yang juga mantan Ketua Menteri berkata, acara kayuhan basikal seperti CFAL berkaitan diadakan hampir saban minggu di Pulau Pinang.

“Setiap minggu, acara kayuhan basikal seperti ini akan turut disertai oleh peserta luar dari Pulau Pinang.

“Malah, pagi ini…saya difahamkan 70 peratus peserta CFAL adalah dari luar Pulau Pinang,” ucapnya sebelum acara pelepasan pagi ini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Kenny Theng Soon Yew dan Pengerusi G Club Pulau Pinang, Datuk Dr. Lim Seh Guan.

PELEPASAN peserta disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sebagai sebuah negeri mesra basikal pertama di Malaysia, Guan Eng menyatakan bahawa Pulau Pinang menawarkan banyak laluan basikal menarik untuk diterokai.

“Kita mahu rakyat Malaysia yang sihat dan kuat serta negara Malaysia yang bersih dengan semangat baharu.

“Jadi, (para peserta) nikmatilah kayuhan pagi ini, nikmatilah laluan basikal berdedikasi dan jangan lupa datang ke sini (Pulau Pinang) lagi, terokailah permandangan indah yang pasti tidak akan mengecewakan anda semua,” katanya yang turut menyertai kayuhan berkaitan bersama-sama isteri, Betty Chew Gek Cheng.

Bertemakan ‘10 Years Strong, Ride On‘, CFAL tahun ini ditaja oleh Kumpulan Ideal Property.

Pelepasan peserta dilakukan di Esplanade, Jalan Padang Kota Lama dengan para peserta melalui Weld Quay sebelum memasuki industri bebas di Bayan Baru ke Teluk Kumbar dan menuju ke Balik Pulau, Batu Feringghi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong sebelum tiba semula di Padang Kota Lama.

LIM Guan Eng bersama-sama isteri dan Ar. Yew Tung Seang memulakan cabaran CFAL Edisi Ke-10 pagi ini.

Oleh :  AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ALISSALA THIAN