Nelayan pesisir pantai terima Pakej Bantuan Rakyat RM400 hari ini

Admin

SUNGAI DUA – Seramai 5,814 nelayan pesisir pantai yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan khas sebanyak RM400 yang diberikan secara one-off oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bantuan khas tersebut adalah salah satu daripada 20 insentif di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 berjumlah RM76 juta yang diumumkan baru-baru ini.

Dr. Norlela Ariffin ketika ditemui pada Program Pemberian Bantuan Khas Secara Tunai RM400 One-Off kepada Nelayan Pesisir Pantai dekat Dewan Besar Sungai Dua pagi tadi.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata bahawa, penerima sumbangan termasuklah 681 nelayan yang tidak berlesen.

“Nelayan tanpa lesen yang layak menerima bantuan ini telah disahkan oleh Pengarah Perikanan (Negeri Pulau Pinang) dan Ketua Unit Persatuan Nelayan Kawasan di pengkalan masing-masing.

“Kita bagi bantuan ini kepada nelayan tanpa lesen adalah kerana lesen untuk nelayan telah dibekukan sejak tahun 1985. Walau bagaimanapun kita sudah mengemukakan permohonan kepada menteri berkaitan untuk meluluskan lesen kepada nelayan tanpa lesen ini tanpa melibatkan implikasi kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerja kita (Kerajaan Negeri) mahu modenkan industri perikanan di negeri ini dengan penglibatan lebih ramai golongan muda sebagai nelayan,” katanya kepada Buletin Mutiara pada Program Pemberian Bantuan Khas Secara Tunai RM400 One-Off kepada Nelayan Pesisir Pantai dekat Dewan Besar Sungai Dua pagi tadi.

Mengulas lanjut, Norlela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti memberitahu bahawa agihan bantuan khas tersebut akan diselesaikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 24 Mei ini.

“Bagi nelayan yang berlesen dan mempunyai akaun bank, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan ini melalui Lembaga Kemajuan Ikan Nelayan (LKIM) pada 20 Mei 2020 untuk diagihkan kepada nelayan-nelayan yang terlibat.

“Bagi nelayan yang tidak mempunyai akaun bank dan nelayan yang tidak berlesen mereka menerima wang tunai pada hari ini dan esok.

Mohammad Baharom, 55.

Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan berkenaan, MOHAMMAD BAHAROM, 55, dari Kuala Juru berkata, bantuan yang diterima tersebut akan digunakan untuk membeli keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas pemberian bantuan ini yang sedikit-sebanyak dapat mengurangkan beban saya sekeluarga untuk melakukan persiapan hari raya.

“Pendapatan kami sebagai nelayan memang terjejas dalam tempoh PKP ini kerana hasil laut semakin berkurang selain pemasaran menjadi agak terhad,” ujarnya yang merupakan bapa kepada lima anak yang masih bersekolah.

Nor Azmi Md. Sapar, 43.

NOR AZMI MD. SAPAR, 43, dari Bakar Tua, memberitahu bahawa kehidupan nelayan agar sukar dalam tempoh PKP kerana kekurangan pelanggan di Pasar Bisik Penaga yang merupakan lokasi pemasaran hasil laut oleh para nelayan.

Justeru katanya, bantuan wang tunai yang diterima tersebut dapat mengurangkan beban khususnya dalam melakukan persiapan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Syukur alhamdulillah kerana Kerajaan Negeri prihatin terhadap nasib nelayan kerana kami juga merupakan golongan yang sangat terjejas akibat PKP.

“Sebelum ini, hasil tangkapan kami akan dijual di Pasar Bisik tetapi memandangkan tempoh PKP memerlukan kehadiran pelanggan yang terhad selain perlu mengamalkan jarak sosial telah menjejaskan jualan kami berbanding waktu-waktu biasa,” ujarnya lagi.

Mohd. Zaidi Awang Mat Isa, 35.

Sementara itu, MOHD. ZAIDI AWANG MAT ISA, 35, daripada Persatuan Nelayan Penaga berkata, walaupun pengeluaran hasil tangkapan tidak terlalu berkurangan tetapi pendapatan mereka terjejas ekoran pemasaran yang terhad dalam tempoh PKP.

“Sebelum tempoh PKP, hasil tangkapan kami yang tidak terjual di pasar nelayan dekat Penaga akan dihantar ke pasaran di kawasan-kawasan lain tetapi kini pergerakan kami agak terhad dan keadaan ini telah menjejaskan pendapatan kami.

“Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bermurah hati memberikan bantuan wang tunai ini yang mana sedikit-sebanyak boleh mengurangkan beban kami buat masa ini,” jelasnya lanjut.

Chew Yam Kiang, 65.

Seorang lagi penerima, CHEW YAM KIANG, 65, dari Juru berkata bahawa bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri sangat membantu para nelayan yang terjejas dalam tempoh PKP.

“Hasil tangkapan pada masa ini sangat kurang berbanding waktu biasa. Jualan juga merosot kerana kami hanya bergantung kepada pelanggan yang datang sendiri di Jeti Kuala Juru,” ujarnya yang menjadi nelayan sejak 30 tahun lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS