Nelayan sokong PSI demi manfaat jangka masa panjang

BARU-baru ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan bahawa pembayaran 75 peratus ex-gratia kepada nelayan-nelayan yang terjejas dengan projek tambakan selatan pulau Pulau Pinang (PSI) atau ‘Silicon Island’ akan mula dikreditkan secara berfasa mulai 1 September 2023.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa pembayaran itu dibuat selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek ‘Silicon Island’ telah mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang pada 21 Julai lalu.

Susulan kelulusan tersebut, kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek PSI akan dimulakan pada 1 September 2023 dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, SIEW CHIA EN menemu bual beberapa nelayan terlibat untuk mengetahui sejauh mana penerimaan mereka terhadap projek berkaitan dan bagaimana ex-gratia yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dapat membantu kehidupan merek

Muhammad Long.

Bagi MUHAMMAD LONG, 66, yang telah berkecimpung dalam kerja-kerja menangkap ikan sejak 35 tahun lalu melihat PSI sebagai projek yang memberikan manfaat kepada rakyat Pulau Pinang untuk jangka masa panjang.

Malah menurut beliau, bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada nelayan-nelayan yang terjejas akibat pelaksanaan projek tersebut juga telah memberi manfaat secara langsung kepada mereka yang terlibat.

“Saya sendiri merupakan salah seorang nelayan yang layak menerima ex-gratia daripada Kerajaan Negeri yang mana setakat hari ini saya telah menerima kesemua sumbangan yang dijanjikan termasuk bot dan pukat.

“Semua bantuan yang diterima ini memberikan manfaat secara langsung kepada nelayan pesisir pantai kerana kami mampu pergi sejauh lima hingga lapan batu untuk menangkap ikan dan hasilnya juga semakin bertambah.

“Bagi saya, banyak faedah diperoleh oleh nelayan daripada bantuan yang diterima khususnya bot baharu yang boleh memanfaatkan akan datang,” katanya ketika ditemui dekat Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Permatang Damar Laut pada 8 September lalu.

Ditanya mengenai 75 peratus ex-gratia yang diterima, Muhammad berkata wang tersebut digunakan untuk meningkatkan lagi syer dalam koperasi yang dianggotainya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada PPSN kerana telah membantu nelayan yang terjejas dengan projek tambak laut untuk mendapatkan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri.

“Secara umumnya, saya menyokong penuh projek ini demi manfaat penduduk Pulau Pinang secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Mansor Othman.

MANSOR OTHMAN, 60, memberitahu bahawa kesemua bantuan yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri berupa sebuah bot berserta enjin, pukat dan 75 peratus ex-gratia telah diterimanya pada penghujung Ogos lalu.

“Sebelum ini saya hanya ada bot kecil yang dibeli sejak puluhan tahun dahulu dan saya sememangnya sudah lama berhasrat untuk membeli bot baharu tetapi berdepan kekangan dari segi kewangan kerana harga bagi sebuah bot adalah sangat mahal.

“Oleh itu, bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat pada masanya dan dengan adanya bot baru ini, kini kami boleh menangkap ikan pada jarak lebih jauh berbanding sebelumnya,” ujarnya.

Mansor menyatakan bahawa kebanyakan nelayan di Permatang Damar Laut menerima pelaksanaan projek PSI yang dilihat dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda pada masa akan datang.

“Dengan siapnya projek ini kelak, anak muda tidak perlu lagi keluar dari kampung untuk mendapatkan pekerjaan demi menyara kehidupan,”

“Walaupun pelaksanaan kerja-kerja tambakan laut dikatakan memberi kesan kepada nelayan tetapi Kerajaan Negeri dilihat tidak mengambil sikap lepas tangan, sebaliknya mereka berusaha sebaik mungkin untuk membantu kami,” katanya yang berasal dari Kampung Binjai, Permatang Damar Laut dan telah menjadi nelayan sejak 30 tahun lalu.

Fajinah Jaafar.

Sementara itu, FAJINAH JAAFAR, 62, menepis dakwaan yang mengatakan projek PSI akan mendatangkan malapetaka serta bakal menjejaskan ekosistem hidupan laut di kawasan yang terlibat dengan tambakan.

Sebaliknya kata Fajinah, lebih banyak ekosistem hidupan laut seperti udang, ikan dan batu karang akan terbentuk apabila PSI ini siap kelak.

“Selain itu, ombak di Permatang Damar Laut telah mengakibatkan hakisan, dan dengan wujudnya PSI akan dapat menyelamatkan kampung kami daripada terhakis.

“Lagi pula, projek ini telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) selepas pelbagai kajian dijalankan oleh pakar-pakar yang berkaitan,” ulasnya yang sudah 35 tahun bergelar nelayan.

Fajinah juga yakin bahawa PSI mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti kepada penduduk Permatang Damar Laut khususnya untuk golongan muda.

“Sebagai ibu, kalau boleh saya tidak mahu anak-anak saya mewarisi pekerjaan sebagai nelayan pesisir pantai kerana pekerjaan ini sukar dan tidak menjaminkan pendapatan yang lumayan.

“Oleh itu, dengan adanya PSI, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada anak-anak muda sekali gus membantu menaikkan taraf hidup masyarakat di sini,” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan yang diterimanya, Fajinah memberitahu bahawa setakat ini, beliau telah menerima sebuah bot dan enjin bernilai kira-kira RM80,000.

“Bagi ex-gratia pula, setakat ini saya telah menerima sejumlah RM15,000 daripada RM20,000 yang dijanjkan… baki RM5,000 lagi mungkin dibayar sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

“Sebahagian duit yang diterima ini saya akan gunakan untuk membaiki rumah saya yang telah usang.

“Selebihnya saya akan gunakan untuk membawa ashli keluarga bercuti ke Langkawi kerana sudah lama saya berhasrat untuk bercuti bersama-sama keluarga demi menggembirakan mereka,” katanya.

Mohammad Qhaidir Subri.

Dalam pada itu, MOHAMMAD QHAIDIR SUBRI, 30, yang merupakan Pegawai Kanan Informasi Maklumat PPSN menggesa lebih ramai nelayan terlibat untuk datang ke PPSN bagi mendapatkan maklumat tepat yang lebih terperinci mengenai PSI.

“Peranan PPSN adalah untuk memaklumkan segala maklumat daripada Kerajaan Negeri untuk disalurkan kepada nelayan yang terkesan daripada projek PSI.

“Memandangkan projek sudah berjalan sejak 1 September lalu, lebih ramai nelayan dari sembilan unit nelayan yang terlibat telah hadir ke PPSN untuk mengemas kini maklumat bagi membolehkan mereka menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri,” katanya sambil menambah bahawa penerimaan nelayan setempat adalah sangat baik setakat ini.

Memandangkan projek PSI sudah bermula, Muhammad Qhaidir berkata bahawa pihaknya kini bersedia dengan mewujudkan pasukan PANTAS untuk menerima dan menyelesaikan aduan nelayan yang terkesan oleh projek berkaitan.

“Selain PPSN Permatang Damar Laut, kami juga ada membuka sebuah lagi PPSN di Sungai Batu yang dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumat dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihati semua nelayan yang terjejas dari sembilan unit nelayan yang terlibat untuk hadir mengemas kini maklumat peribadi dalam kadar segera.

Sembilan unit nelayan tersebut adalah yang terdiri daripada Permatang Damar Laut, Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul, Pulau Betong, Sungai Burung, Seri Jerejak dan Teluk Tempoyak.