Nelayan yang dikhuatiri hilang di Kuala Muda ditemui

PENAGA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin baru-baru ini turun padang melawat keluarga dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Kuala Muda, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya hadir bersama-sama ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.

Dr. Afif Bahardin turut melawat keluarga mangsa.

Difahamkan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman turut sama hadir meninjau di pusat operasi pencarian sebelum itu.

Dalam pada itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Hamizan Harun semasa ditemui pemberita memberitahu, kedua-dua mangsa yang dikhuatiri hilang itu ditemui dalam keadaan selamat oleh pihak penyelamat pada jam 1.30 petang (3 Februari) pada jarak 40 batu nautika dari Jeti Kuala Muda.

Mangsa Yasir Abdul Hamid, 50, dan seorang lagi rakan yang keluar memukat ikan Jumaat lalu (1 Februari) berjaya ditemui oleh sekumpulan nelayan tempatan dengan dibantu oleh beberapa pegawai daripada APMM.

Kedua-dua nelayan dibawa ke Jeti Kuala Muda oleh pasukan APMM

Ketika menceritakan detik-detik cemas, Yasir memberitahu bahawa dia dan rakannya terkandas di tengah-tengah laut selepas bot nelayan yang dipandunya mengalami kerosakan pada bahagian enjin.

“Bot milik saya selalu juga mengalami masalah enjin tapi biasanya tidak sampai satu hari saya sudah boleh pulang ke rumah tapi kali agak lama.

“Sepanjang tiga hari kami tidak makan apa-apa dan hanya minum air yang dibawa sambil berharap ada kawan-kawan lain datang mencari.

“Alhamdulillah, akhirnya mereka berjaya jumpa kami sebelum berlaku perkara-perkara tidak diingini,” katanya.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF