Nilai ambang RM1.5 juta (jualan tahunan), rokok dan sewaan gerai dalaman dikira sebagai berasingan – Guan Eng

  • PANTAI JEREJAK – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan bahawa nilai ambang RM1.5 juta (jualan tahunan) bagi restoran adalah tertakluk kepada makanan dan minuman sahaja.

Kata beliau, jumlah tersebut adalah diasingkan sama sekali daripada kutipan jualan rokok serta sewaan dikutip bagi gerai-gerai kecil yang menyewa di dalam sesebuah restoran.

“Ini satu kelonggaran, ianya untuk makanan serta minuman, untuk rokok dan sebagainya, pemilik boleh asingkan… ini satu kebaikan bagi restoran dan kedai kopi.

“Kalau masuk sewaan serta rokok, ianya akan melepasi nilai ambang (perlu bayar cukai)… perkara ini sudah diputuskan dan akan digazetkan.

“Dari segi prinsip, makanan serta minuman adalah makanan dan minuman (sahaja), rokok dan sewaan dikira sebagai berasingan,” ujarnya dalam sidang media pada Sesi Taklimat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) Menteri Kewangan Malaysia di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong; Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri T. Subramaniam dan Pengarah KDRM Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail.

Tambah Guan Eng, melalui perubahan dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada SST, Kerajaan Pusat memberikan ‘hadiah’ kepada rakyat bernilai RM23bilion ekoran pengurangan jumlah kutipan cukai daripada RM44 bilion setahun kepada RM21bilion setahun.

Oleh demikian, menurut Guan Eng, harga barangan sepatutnya diturunkan sebagaimana dilakukan syarikat pengeluar kereta Perodua dan Honda yang berjaya menurunkan harga dari 1 hingga 3 peratus.

“Malah, ini merupakan sesi ke-14, dan saya dapati kehadiran adalah semakin berkurangan yang secara langsung menunjukkan umum mulai faham dengan sistem SST ini berbanding sesi-sesi awal dahulu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan juga berjanji akan terus mendengar suara rakyat bagi menambah baik sistem SST dari masa ke masa agar rakyat tidak rasa terbeban.

Dalam pada itu, Subramaniam turut menerangkan kepada orang ramai yang rata-ratanya adalah pemilik syarikat peniagaan tentang pengecualian serta pemotongan cukai SST yang layak dinikmati.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar & Video : DARWINA MOHD. DAUD