Notis Waspada PBAPP ditamatkan setelah NTU LRA Sungai Muda kembali normal

Admin

GEORGE TOWN – Notis Waspada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bertarikh 8 September lalu ditamatkan selepas pemantauan kualiti air mentah dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua mendapati paras kekeruhan air kembali normal pada jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui PBAPP akan sentiasa berwaspada terutama ketika berlakunya perubahan cuaca.

“(Dan) para pengguna air juga dinasihatkan supaya berjimat-cermat menggunakan air serta menyimpan air untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran 5G di Wisma UAB dekat sini.

Semalam, PBAPP mengeluarkan Notis Waspada memaklumkan bahawa pihaknya sedang membuat pemantauan kualiti air mentah dari LRA Sungai Muda yang mana sehingga jam 4:30 petang (8 September 2022) Unit Kekeruhan Nefelometrik (NTU) di Muka Sauk Lahar Tiang berada pada tahap 749.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow ketika menjawab pertanyaan pemberita berhubung pelan jangka panjang Kerajaan Negeri tanpa bergantung kepada sumber air Sungai Muda kini memaklumkan bahawa semua perancangan serta projek yang bakal dan dilaksanakan mengambil masa untuk disiapkan.

(Dan) PBAPP mempunyai Pelan Kontingensi Bekalan Air  untuk tempoh lima tahun bagi memastikan bekalan air terjamin (serta pelan ini dirangka) berikutan penangguhan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

“Kerajaan Negeri masih lagi berusaha dan menunggu kelulusan untuk SPRWTS,” jelasnya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI