NIBONG TEBAL – Penganjuran Nibong Tebal Festival (NTF) bagi tahun ketiga berturut-turut membuktikan keberkesanan acara komuniti dalam merancakkan pembangunan ekonomi bandar kecil serta memperkasa identiti lokaliti setempat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran acara tahunan itu sejak 2024 seakan telah membawa transformasi di sekitar kawasan sekitar Lorong Boo Aun.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menganggap penganjuran festival tersebut juga menjadi bukti yang nyata bahawa seni dan budaya mampu memberi nafas baharu kepada kawasan yang dahulunya usang.
“Jika kita imbas kembali pada tahun 2024, kawasan sekitar Lorong Boo Aun hanya dihuni premis lama dan bangunan usang, namun hari ini kita melihat kewujudan aktiviti ekonomi baharu seperti kedai kopi serta perniagaan kecil.
“Ini membuktikan festival bukan sekadar acara tahunan, malah bertindak sebagai pemangkin penjanaan ekonomi yang selari dengan aspirasi Visi Penang2030, iaitu meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan komuniti,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan semasa merasmikan festival tersebut di sini pada 7 Februari 2026.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa penganjuran NTF pada kali ini juga lebih signifikan kerana berlangsung sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Nibong Tebal mempunyai keistimewaan sejarah dan kepelbagaian budaya yang unik.
“Melalui pendekatan pelancongan berasaskan komuniti (CBT), kita mampu mengangkat kraftangan, warisan makanan, dan hasil kreatif tempatan sebagai produk pelancongan bernilai tinggi.
“Usaha ini bukan sahaja memelihara warisan, malah membuka ruang ekonomi kepada penggiat seni dan usahawan kecil, sekaligus menyokong ekosistem ekonomi kreatif di Pulau Pinang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji sinergi antara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pusat Khidmat KADUN Jawi dan rakan-rakan strategik lain hingga berjaya memastikan pengisian festival tahun ini bersifat holistik.
“Semangat kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta dan warga setempat inilah yang menjadi tunjang kekuatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang progresif dan inklusif,” tambahnya.
Berucap sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan para pemegang taruh serta penaja festival tersebut.
Turut berucap, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.
Buletin Mutiara difahamkan, festival pada tahun ini menyaksikan pelbagai acara menarik termasuk pameran budaya, gerai jualan usahawan tempatan dan persembahan bakat kreatif anak muda yang berjaya menarik kehadiran pengunjung dari dalam serta luar kawasan Seberang Perai.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING