Nurqurratu Aini pecah rekod kebangsaan, subur harapan emas skuad para memanah Pulau Pinang

8c089f16 99ac 47ec 9a48 ce092c7c1f24 KALI pertama menyertai temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor, Nurqurratu Aini Abdul Wahab bukan sahaja berjaya menyumbang pingat emas pertama kepada Kontinjen Pulau Pinang, malah memecahkan rekod kebangsaan yang telah bertahan selama lapan tahun sebelum ini, di arena memanah Kompleks Belia & Sukan (KOMBES) dekat Shah Alam pada 7 September 2026.

Skuad para memanah Pulau Pinang membuka tirai saingan Para SUKMA XXII Selangor 2026 dengan penuh gemilang apabila pemanah negeri, Nurqurratu Aini Abdul Wahab, berjaya merintis jalan meraih pingat emas pertama kontinjen menerusi acara Compound Women Individu hari ini.

Dalam aksi pusingan kelayakan di arena memanah Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), Shah Alam, Nurqurratu Aini menamatkan saingan di kedudukan teratas (Ranking 1/14) selepas mencatatkan 644 mata, termasuk 15 kali catatan 10 dan lapan kali catatan X.

Kejayaan itu sekali gus memadamkan rekod lama 639 mata milik Nor Sa’adah Abdul Wahab dari Perak yang dicipta pada edisi Para SUKMA 2018.

aa0da568 783e 4791 85b4 8bb88dba66c1
TIMBALAN Ketua Kontinjen (DCDM) Negeri Pulau Pinang, Rohana Yusof menyempurna acara pengalungan pingat emas kepada Nurqurratu Aini Abdul Wahab (kanan) serta merakamkan gambar kenang-kenangan di arena memanah Kompleks Belia & Sukan (KOMBES), Shah Alam, pada 7 September 2026.

Dua lagi pemanah Pulau Pinang turut menunjukkan aksi bertenaga dalam acara sama, dengan Anis Humairah menduduki tempat ke-6 (597 mata) dan Amira Firdiana berada di kedudukan ke-7 (591 mata) daripada keseluruhan 14 peserta.

img 7031
HARITH Suffi Hasnan

Ketua Jurulatih Skuad Para Memanah Negeri, Harith Suffi Hasnan, menzahirkan rasa syukur selepas pengorbanan dan latihan intensif sepanjang dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.

Menurut beliau, pemantapan integrasi program pembangunan atlet di bawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Akademi Memanah Epsilon menjadi antara kunci utama kepada kelancaran perancangan serta prestasi cemerlang skuadnya.

“Pada hari pertama saingan setakat tengah hari ini, kita mula meraih satu pingat emas.

“InsyaaAllah, kita akan cuba lagi untuk kategori berpasukan dan perseorangan esok,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini hari ini.

da627dca fbca 48d6 8bce 5427cc9d3711
GAMBAR kenang-kenangan skuad para memanah Pulau Pinang pada hari pertama saingan di Kompleks Belia & Sukan (KOMBES) dekat Shah Alam, sebelum sesi petang perlawanan ditangguhkan ekoran kualiti udara kurang baik dengan bacaan indeks pencemar udara (IPU) lebih 160.

Beliau turut menyatakan keyakinan untuk memperbaiki pencapaian lalu, iaitu dua perak dan tiga gangsa pada 2022 serta satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada 2024, dengan sasaran menukar pingat perak kepada emas kali ini.

img 7030
NURQURRATU Aini Abdul Wahab

Sementara itu, Nurqurratu Aini menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai hasil disiplin tinggi dan kepatuhan terhadap arahan jurulatih.

Beliau memilih untuk kekal tenang tanpa memikirkan tekanan persaingan atau mata kejohanan ketika beraksi, walaupun berdepan cabaran lain termasuk perubahan jadual sejak petang semalam berikutan keadaan kualiti udara yang tidak baik dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100.

“Alhamdulillah, kami memang berusaha untuk dapatkan emas.

“Saya cuma fikir tentang shoot dan kekalkan taraf bidikan sahaja.

“Jurulatih selalu ingatkan supaya jangan ubah apa-apa dan fokus pada setiap panahan,” katanya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AINUR SYAHIRAH ANUAR (MSNPP)