Nyamuk disuntik Wolbachia atasi wabak denggi, bakal dilaksanakan di dua lokaliti panas tambahan

Admin
KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Norlela Ariffin (tiga dari kiri), Syerleena Abdul Rashid (kiri sekali) dan Dr. Maarof Sudin menyempurnakan acara gimik perasmian majlis berkaitan sempena sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri di Kampung Bukit Gelugor pada 25 Jun 2022.

SERI DELIMA – Di perkarangan Kampung Bukit Gelugor pada awal pagi ini menyaksikan ratusan penduduk lokal bersama-sama anggota Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) berhimpun bagi menjayakan Program Goyong-royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri bersempena sambutan Hari Denggi ASEAN di sini.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pada tahun ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan melepaskan nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia di dua lokaliti tambahan masing-masing di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara.

“Hari Denggi ASEAN yang disambut pada tanggal 15 Jun setiap tahun adalah bagi meningkatkan komitmen dalam kalangan negara anggota untuk bersama-sama mencegah penyakit demam denggi.

“Sehubungan itu, pada peringkat Kerajaan Negeri, kita akan meneruskan jalinan kerjasama strategik ini terutama pemerkasaan 136 pasukan COMBI seluruh negeri bagi meneruskan usaha-usaha pencegahan bersesuaian peringkat akar umbi termasuk pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia di lokaliti panas demam denggi yang dikenal pasti oleh JKNPP,” jelasnya sebelum menyempurnakan acara pelepasan peserta gotong-royong di sini pada 25 Jun 2022.

DR. Maarof Sudin

Pengarah JKNPP, Dr. Maarof Sudin turut berucap pada majlis yang dilangsungkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berwajib.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; beberapa wakil rakyat, Timbalan Pengarah JKNPP (Kesihatan Awam), Datin Dr. Azizah Ab. Manan; Penolong Pegawai Daerah Timur Laut, Ilias Masri Abdul Muin dan Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Dr. Mohamed Iqbal Hamzah.

Turut serta, anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) lokal; aktivis-aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO); kakitangan perkhidmatan pembersihan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan sukarelawan siswa Universiti Sains Malaysia (USM).

ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Cun Kit (kiri sekali), ADUN Pengkalan Kota (dua dari kiri) dan ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim (kanan sekali) turut menyertai majlis berkaitan sempena sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri di sini pada pagi tadi.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut melahirkan rasa kesal dan bimbang mengenai tren peningkatan ketara kes demam denggi di seluruh negara termasuk negeri Pulau Pinang.

Memetik laporan statistik semasa JKNPP, Kon Yeow memberitahu bahawa sehingga Minggu Epid 24/2022, jumlah kumulatif kes demam denggi yang direkodkan di negara ini adalah 21,689 kes berbanding 12,854 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 68.7 peratus.

“Manakala, di Pulau Pinang sahaja, bermula dari bulan Januari hingga Minggu Epid 24/2022 (menyaksikan) jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 282 kes berbanding 217 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 30 peratus atau 65 kes.

“Sikap sambil lewa dan pengabaian daripada aspek penjagaan kesihatan (persekitaran) secara tidak sempurna terus menjadi penyumbang terbesar.

“Peningkatan (kes demam denggi) ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana apa yang membimbangkan kini adalah peningkatan kes demam denggi secara mendadak dicatatkan bermula Minggu Epid 19/2022,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong

KETUA Menteri (memegang bendera Pulau Pinang) dan Ramkarpal Singh (memegang bendera Jalur Gemilang) menyempurnakan acara pelepasan peserta Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri sekitar jam 10.00 pagi tadi di sini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa tindakan secara kolektif dan proaktif seperti gotong-royong peringkat komuniti akan terus diperkasakan dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan bukan hanya anggota COMBI serta MPKK semata-mata.

Sebelum pada itu, Maarof memberitahu bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih ‘ASEAN’s Resilience Against Dengue Amidst COVID-19’ sebagai tema sambutan Hari Denggi ASEAN pada kali ini sekali gus menunjukkan kesepakatan serta ketahanan negara-negara anggota dalam memerangi penyakit demam denggi biarpun menghadapi bebanan serta cabaran implikasi dari gelombang pandemik COVID-19 selama hampir dua tahun sejak tahun 2020.

BEBERAPA sukarelawan saling bergotong-royong membersihkan kawasan lapang terbiar dekat Kampung Bukit Gelugor demi mencegah pembiakan nyamuk Aedes di sini.

Menjawab soalan pemberitahu selepas itu, Maarof menyatakan bahawa setakat ini di Pulau Pinang, JKNPP telahpun melepaskan nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia dekat tiga lokasi panas iaitu Bukit Gedung, Taman Manggis dan Inderawasih.

“Ia (nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia) ini adalah nyamuk mandul (maka) apabila ia bersenyawa dengan nyamuk betina, telur itu tidak efisien dan tidak boleh menetas menjadi jentik-jentik.

“Nyamuk betina akan menjadi mandul dan tidak boleh bertelur (serta) jika ia ‘bersama’ nyamuk lain pun, tidak boleh membiak,” ulasnya sambil menganggap kaedah pencegahan sebegini berkesan bagi menangani penularan ‘wabak pembunuh’ tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI