OFRA zahir semangat cinta kemerdekaan melalui larian

 TANJUNG BUNGA – Old Frees Runners Associates (OFRA) Running Squad memilih zahirkan semangat cintakan kemerdekaan kali ke-63 melalui acara larian baru-baru ini.

 

Presiden OFRA, Adli Zil Ikram ketika bercakap kepada Buletin Mutiara, penganjuran Cabaran Merdeka tersebut, membahagikan beberapa kategori iaitu 63 kilometer (km), 31.8km, 21km dan 10km.

 

“Kita memilih 63km dan 31.8km yang sememangnya simbolik kepada ulang tahun dan tarikh kemerdekaan sendiri.

 

“Jumlah keseluruhan pelari adalah 40 orang, tiga daripadanya berlari 63km dan paling awal menamatkan larian adalah lebih kurang enam jam.

 

“Pelepasan dilakukan berperingkat-peringkat bermula jam 1 pagi bagi 63km, 2 pagi, 4:30 pagi dan 6 pagi,” jelas Adli ketika di lokasi larian berlangsung dekat Straits Quay.

Tambah Adli, OFRA turut menekankan tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera dan pengawalan jarak fizikal dan saringan suhu.

 

Salah seorang pelari 63km, Muhd Amirul Hafiz Abdul Razak ketika ditemui memberitahu, acara tersebut merupakan kali pertama beliau berlari dalam jarak tersebut.

 

“Saya berhasrat untuk cabar diri sendiri berlari dalam jarak sejauh ini, memang kaki rasa sakit selepas berlari enam jam namun ianya adalah pilihan menyambut kemerdekaan kali ini,” katanya.

 

Ditanya mengenai cara beliau mengekalkan stamina, Amirul Hafiz menjadikan rutin larian selama tiga jam pagi dan petang.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD