One Hope Charity, RM3.6 juta bantu depani pandemik

Admin
KETUA Menteri (tengah) menyaksikan acara penyerahan rek replika oleh pemimpin One Hope Charity & Welfare kepada wakil JKNPP di Komtar pada petang ini.

GEORGE TOWN – One Hope Charity & Welfare (One Hope Charity) hari ini menyerah sekali lagi peralatan perubatan bagi fasa dua dan tiga dengan nilai sumbangan sebanyak RM360,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Menyaksikan acara penyampaian cek replika itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut pada awal Januari lepas telah menyerahkan pelbagai peralatan kesihatan yang bernilai RM400,000 kepada hospital-hospital awam di negeri ini sebagai usaha menangani pandemik COVID-19.

“Kita semua sedia maklum bahawa One Hope Charity yang telah beroperasi sejak 19 tahun lalu merupakan NGO kebajikan paling aktif serta efisien.

“Prestasi, integriti dan kecekapan pengoperasian mereka tidak boleh dipertikaikan lagi,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di Komtar pada 27 April 2021.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Chua Sui Hau dengan diiringi penasihat NGO tersebut, Datuk Seri R. Arunasalam menyampaikan cek replika bernilai RM360,000 kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Asmayani Khalib.

Turut serta, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Rafidah Md. Noor dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit JKNPP, Dr. Farzaana Adam.

Sehingga kini, tambah Kon Yeow, NGO kebajikan tersebut telah membelanjakan RM3.6 juta untuk membantu anggota perubatan dalam mendepani pandemik, mengadakan sumbangan pek makanan serta peranti tablet kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI