Operasi bersepadu kenderaan berat parkir merata dilancar

PENGUATKUASA MPSP sedang menunda sebuah bas kilang di Taman Permata dalam operasi bersepadu menangani kenderaan berat parkir di kawasan kediaman awam sekitar Seberang Perai di sini baru-baru ini.
PENGUATKUASA MPSP sedang menunda sebuah bas kilang di Taman Permata dalam operasi bersepadu menangani kenderaan
berat parkir di kawasan kediaman awam sekitar Seberang Perai di sini baru-baru ini.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM – Direktorat Penguatkuasaan bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini melancarkan operasi bersepadu menangani kenderaan berat parkir di kawasan kediaman awam sekitar Seberang Perai.

Sebanyak 13 kompaun dikeluarkan hasil operasi semalaman yang diketuai Ahli Majlis bagi MPSP, Francis Ong Koon Liak dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Operasi ini dilakukan hasil aduan orang-orang awam kepada pihak majlis (MPSP). Ini menunjukkan bahawa MPSP memandang berat masalah ini,” ujar beliau di Kompleks MPSP, di sini.

Turut hadir, dua Ahli Majlis bagi MPSP lain, Ahmad Kaswan Kassim dan Abdul Latif Abdullah.

Hadir bersama, Nazri Abdul Wahab (Ketua Direktorat MPSP), Kapten (B) Mohd. Khairi Abdul Rahman (SPAD), KPKM Amirudin A. Sani (JPJ) dan Inspektor Mohd. Azarul Alias (PDRM).

Francis menjelaskan, MPSP menerima sebanyak 151 aduan rakyat sejak Januari 2012 hingga Ogos 2012.

Katanya lagi, sebanyak 136 aduan rakyat diterima sejak Januari 2011 hingga Ogos 2011.

“Ini menunjukkan terdapat peningkatan dan menunjukkan ketidakprihatinan pemandu kenderaan berat terhadap keresahan penduduk setempat,” ujar beliau.