Operasi Pusat Dialisis CAT awal tahun depan

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BALIK PULAUBuat julung kali dalam negara, atas inisiatif khas Kerajaan Negeri, Pusat Dialisis CAT yang hanya mengenakan bayaran rawatan RM30 untuk pesakit buah pinggang bakal beroperasi pada awal tahun 2013 bertempat di Kompleks Pasar Awam Balik Pulau di sini.

Lanjutan itu, Pusat Dialisis CAT kedua juga bakal dilaksanakan sebaik sahaja yang pertama disiapkan sepenuhnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa peruntukan berjumlah RM 150,000 diperlukan bagi mengubahsuai lokasi pusat termasuk pembelian 10 mesin dialisis (RM 523,110).

“Pesakit hanya perlu membayar RM30 bagi setiap sesi rawatan berbanding RM150 hingga RM200 bagi rawatan swasta di luar sana,” katanya ketika melancarkan kerja-kerja pengubahsuaian Pusat Dialisis CAT di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy. Exco Kesihatan Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco Perancangan Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd. Yusmadi Mohd Yusoff turut menyerikan majlis bersejarah berkenaan.

Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat, sebanyak 21 daripada 50 buah pusat dialisis adalah dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga badan sukarela.

“Malah, mengikut statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 31 Disember lalu, seramai 4,476 pesakit telah mendapatkan rawatan dialisis di Pulau Pinang,’’ jelasnya.

PUCUK pimpinan Kerajaan Negeri mengecat dinding Pusat Dialisis CAT sebagai gimik pelancaran di sini baru-baru ini.
PUCUK pimpinan Kerajaan Negeri mengecat dinding Pusat Dialisis
CAT sebagai gimik pelancaran di sini baru-baru ini.