Penurunan jenayah, jasa Ayub dikenang

Admin
AYUB Yaakob.
AYUB Yaakob.

JASAMU DIKENANG….. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob buat kali terakhir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri bersama Ketua Menteri dan Ahli Exco Kerajaan Negeri sebelum beliau ditukarkan sebagai Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khusus dalam menangani isu-isu keselamatan negara baru-baru ini.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Abu Samah Mat yang kini memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan).

Sepanjang hampir empat tahun setengah bertugas sebagai Ketua Polis di sini, Ayub telah berjaya menurunkan indeks jenayah negeri sebanyak 73.1 peratus dan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang mencatatkan menurunkan kadar jenayah paling tinggi dalam negara bagi tempoh dua tahun berturut-turut.

“Sepanjang ditugaskan di sini iaitu selepas pilihanraya 2008, tidak banyak masalah yang dihadapi, sebaliknya, banyak pihak yang sudi bekerjasama terutamanya pentadbiran Kerajaan Negeri dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengurangkan kadar jenayah di sini,” ujarnya pada majlis sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Komtar baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, Ayub turut mewakili keluarga Allahyarham Konstabel Nan Ruazlan Zulkefle, 23, dari Balai Polis Machang Bubok yang maut ketika menjalankan tugas pada April lalu menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM3,000.