Ops Lumpur pantau langkah mitigasi Projek Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus

Admin

PAYA TERUBONG – Kerajaan Negeri bersama-sama enam agensi kerajaan hari ini menjalankan operasi bersepadu Ops Lumpur di Projek Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus bagi memantau langkah-langkah mitigasi hakisan dan kelodak dilaksanakan di tapak berkaitan.

 

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari yang mengetuai operasi bersepadu berkenaan berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan didapati banyak penambahbaikan telah dilaksanakan pemaju selepas insiden tanah runtuh pada Februari 2018.

 

“Banyak langkah-langkah mitigasi telah dilaksanakan antaranya menutup kawasan cerun-cerun terbuka, membina check dam dan sebagainya.

 

“Tetapi penambahbaikan masih boleh dilakukan sepertimana yang telahpun dicadangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang… yang paling penting pihak pemaju mestilah mengikut pelan mitigasi dan hakisan bagi mengelakkan sebarang kemalangan lagi,” ujarnya kepada media sejurus melakukan operasi di tapak pagi ini.

 

Ops Lumpur yang bermula kira-kira jam 10.45 pagi tadi dilaksanakan Kerajaan Negeri dengan kerjasama enam agensi kerajaan yang lain  iaitu JPS, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH).

 

Mengulas lanjut mengenai kemajuan projek lebuh raya berkembar tersebut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata pemajuan projek telah menjangkau 75 peratus dengan jangkaan siap pada pertengahan tahun hadapan.

 

“Ini merupakan bahagian ketiga iaitu sepanjang 3.5km (kilometer) yang dipertanggungjawab kepada MBPP.

 

“Apabila siap kelak, ia boleh digunakan dimana kita (Kerajaan Negeri) akan membina satu jalan penghubung sepanjang 200m (meter) untuk menghubungkan Jalan Paya Terubong ke lebuh raya baharu ini sebelum dua bahagian lain siap,” jelasnya lanjut.

 

Projek Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus dibahagikan kepada tiga bahagian sebagai langkah penjimatan.  Selain MBPP, dua bahagian lain dilaksanakan oleh PLB Land Sdn. Bhd. dan Geo Valley Sdn. Bhd..

 

Hadir sama Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Amphai Ee Bau (Penolong Pengarah Kanan JPS Pulau Pinang), Datuk Ir. Wan Ngah Wan Ali (Pengerusi Yuta Maju Sdn. Bhd.) dan Amir Abdullah (Jurutera Perunding GEA Sdn. Bhd.).

 

Dalam pada itu, Amphai memberitahu bahawa hasil daripada operasi yang dijalankan, pihaknya (JPS) telahpun mencadangkan beberapa penambahbaikan memandangkan kini musim hujan.

 

“Walaupun pihak konsultan telahpun melaksanakan sebaik mungkin, sekarang musim hujan justeru kita (JPS) mencadangkan agar mana-mana kawasan cerun yang telah dibersihkan perlu segera ditanam rumput.

 

“Manakala, bagi kawasan yang masih dijalankan kerja-kerja tanah, apabila selesai pemaju perlu tutup dahulu dan buka semula untuk sambung kerja kerana bimbang jika tidak ditutup kawasan ini terdedah jika berlakunya hujan,” ujarnya sambil menasihatkan pemaju agar sentiasa menitik beratkan hal-hal penyelenggaraan tapak.

 

Manakala, Wan Ngah ketika ditemui memberitahu selaku pemaju bertanggungjawab, pihaknya akan mengikuti semua syarat dan nasihat yang diberikan badan berwajib berkaitan.

 

“Kita berjanji akan turuti semua nasihat yang diberikan kerana apa yang menjadi keutamaan kami (Yuta Maju) adalah projek ini disiapkan mengikut masa yang ditetapkan,” ujarnya.