‘Ops pemutihan’ taska, pusat jagaan kanak-kanak sehingga 30 Jun 2021 – Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo (depan, kiri) mendengar penjelasan Shaballah Zainal Abidin (depan, kanan) mengenai prosedur JKM Negeri Pulau Pinang mengeluarkan sijil perakuan Tadika D’Komtar, selepas sidang media di sini pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Sejumlah 281 taman asuhan kanak-kanak (taska), taman didikan kanak-kanak (tadika) dan pusat jagaan yang masih beroperasi secara tidak sah di negeri ini digesa untuk segera mendapatkan sijil perakuan berwajib dengan pelbagai pakej pengecualian fi pembayaran, dalam tempoh moratorium sehingga 30 Jun tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa langkah pemutihan itu demi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin serta meringankan kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh para pengusaha pusat jagaan untuk mendapatkan sijil perakuan berwajib.

“Selain Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga diarahkan membantu – bagaimana kita boleh mempermudahkan proses dan ringankan beban para pengusaha tanpa mengkompromikan aspek keselamatan kanank-kanak.

“Kita harap mereka dapat tampil ke hadapan kerana kita bagi masa moratorium untuk mereka mengemukakan permohonan pendaftaran,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada pemberita di perkarangan luar Taska D’Komtar di sini pada 29 September 2020.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri, Shaballah Zainal Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; dan Pegawai Perancangan Bandar & Desa MBPP, Tpr. Roslan Ramly turut sertai sidang media tersebut.

Berikut adalah antara pakej pengecualian pembayaran yang ditawarkan oleh MBPP dan MBSP:

* Pengecualian pembayaran sumbangan bagi menggantikan tempat parkir yang tidak disediakan, melibatkan anggaran pengurangan hasil PBT berjumlah RM7.7 juta

* Pengecualian pembayaran untuk penanaman pokok melibatkan anggaran pengurangan hasil PBR kira-kira RM5,600

* Pengecualian denda 10 kali ganda daripada fi permohonan bagi aktiviti taska, tdika dan pusat jagaan yang beroperasi tanpa kelulusan; ia melibatkan pengurangan hasil pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM28,000.

“Kesemua pengecualian ini diberikan sehingga 30 Jun 2021…(namun,) Pelan Kebenaran Merancang perlu dikemukakan pada atau sebelum 30 Jun 2021,” jelasnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan memantau operasi semua taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak seperti biasa walaupun ketika kedua-dua PBT melaksanakan langkah moratorium.

Selepas sidang media itu, beliau turut menyaksikan Shaballah menyerahkan sijil perakuan kepada pengusaha Taska D’Komtar.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB